NGO Sisters In Islam (SIS) hari ini memfailkan semakan kehakiman ke atas satu fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengharamkan kumpulan wanita Islam terbabit.
Semakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi oleh Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman dan ahli lembaganya Datin Paduka Marina Mahathir.
Dua lagi perayu bersama semakan itu ialah bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis wanita Zainah Anwar yang menamakan diri mereka sebagai "orang Islam yang prihatin."
SIS menyatakan mereka hanya mengetahui perkara tersebut melalui carian di laman e-fatwa Majlis Agama Islam Selangor pada 20 Oktober lalu.
Fatwa tersebut memutuskan SIS sebagai pertubuhan haram kerana didakwa menganuti dan menyebarkan fahaman agama "liberal dan pluralisme."
Dalam kenyataannya, SIS menjelaskan bahawa fatwa berkenaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa kepada pihak berkuasa untuk merampas penerbitan dan menyekat penyebaran di laman sosial.
"Fatwa tersebut menyatakan semua bentuk penerbitan yang dianggap 'liberal dan plural' diharamkan dan dirampas.
"Malah, ia turut menyebabkan sekarang bentuk penyebaran di media sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak dihalang oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," kenyataan SIS dipetik.
Kenyataan berkenaan diedarkan semasa sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Mereka menamakan MAIS, Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden semakan tersebut.
Dakwa tak dipanggil
SIS turut mendakwa mereka langsung tidak diberitahu atau dipanggil berbincang sebelum fatwa tersebut disiarkan 31 Julai lalu.
Sementara itu, Marina mempersoalkan tuduhan yang mendakwa mereka menyebarkan ajaran liberalisme dan pluralism tanpa siasatan terhadap mereka dan menganggap ia sebagai tidak adil.
"Apa maknanya mereka menuduh kami sebagai liberal dan (menyebarkan) pluralisme agama?
"Boleh tak mereka tolong menyatakan terperinci kedua terma ini dan apa yang dilakukan oleh kami yang dianggap liberal, plural dan membelakangi Islam?" soalnya.
Manakala Zaid pula menyokong semakan itu dan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan dialog bagi membincangkan isu ini.
"Saya seoramg Muslim yang baik dan says juga seorang liberal. Jadi bila keluar fatwa liberal tu sesat saya rasa tersinggun," katanya yang menganggap dirinya sebagai 'muslim liberal'.
"Yang buat kalut Malaysia ni Jabatan Perdana Menteri, Jakim (Jabatan Kebajikan Islam Malaysia), jadi untuk kebaikan Rakyat malaysia. Jadi minta menteri (Datuk Seri) Jamil Khir jelaskan di TV....dan PM boleh buka perbincangan," kata beliau.
Beliau turut membidas kumpulan seperti PERKASA dan ISMA yang kononnya bertindak mengikut perlembagaan tetapi memusuhi liberal tanpa memahami definisi sebenarnya.
"Sekarang ni guna perkataan liberalisme, pluralisme banyak jadi saya fikir jangan kata kalau tak faham.
"(Presiden PERKASA Datuk) Ibrahim Ali dan ISMA kata ikut perlembagaan tapi dia faham ke?" soal beliau.