Kira-kira10 peratus orang terkaya di Malaysia mengawal lebih 77 peratus nilai saham di negara ini, dakwa Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata hal ini menyebabkan cadangan cukai keuntungan modal (CGT) yang dicadangkan belanjawan alternatif mereka jauh lebih relevan dan tidak menyusahkan sebahagian besar rakyat miskin yang terjejas dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Justeru beliau bertegas sekiranya CGT dilaksanakan hanya kira-kira 15 peratus rakyat yang memperoleh keuntungan dari segi penjualan aset kewangan dan mampu memberi pendapatan baik tanpa mengusik rakyat majoriti.
"Adalah baik sekiranya hanya mereka yang menguasai kekayaan perlu membayar cukai ini.
"Lebih baik kita cukaikan paling ramai ikut statistik kita, 15 peratus yang kaya ini dulu sebelum kita kutip cukai dari semua orang miskin," kata beliau dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa tidak mesra perniagaan dan merugikan negara.
Media arus perdana melaporkan Najib dalam ucapan ketika merasmikan Konvensyen MCA semalam berkata CGT lebih baik dari GST kerana cukai alternatif itu akan mendatangkan impak negatif terhadap ekonomi negara dan menjadikan Malaysia kurang kompetitif.
Sementara itu MP Kelana Jaya Wong Chen turut menafikan dakwaan Najib bahawa pelaksanaan CGT akan meruntuhkan pasaran modal dan saham serta membuat pelabur lari.
Beliau yang juga pengerusi biro pelaburan dan perdagangan PKR berkata pasaran saham runtuh bukan kerana CGT sebaliknya kerana spekulasi terhadap modal.
Manakala pelabur pula tidak yakin dengan pasaran saham bukan kerana cukai sebaliknya ketirisan, rasuah dan campurtangan politik, tambahnya.
"Kita tahu banyak negara termasuk Amerika Syarikat serta Jepun sudah melaksanakan CGT dan pelabur tidak lari malah bertambah.
"Ini kerana CGT mampu mengurangkan permainan spekulasi dan menggalakkan pelabur melabur dan membeli saham untuk jangka panjang," katanya.