Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami isteri rentung kereta bertembung bas
Diterbitkan:  Oct 8, 2014 2:32 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Sepasang suami isteri rentung apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar selepas bertembung dengan sebuah bas persiaran dalam kemalangan di KM16 Jalan Pekan-Nenasi dekat Kampung Sungai Miang, Pekan hari ini.

    

Mangsa yang terbunuh adalah pemandu kereta, seorang anggota tentera Mohd Safiuddin Mohd Sezali, 26, berasal dari Kampung Panchor Merah, Permaisuri, Terengganu dan isterinya, Nor Farina Rosli, 26, dari Kampung Edang, Melor, Kelantan yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Desa Sungai Sayong Kluang, Johor.

    

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata dalam kejadian jam 4.45 pagi itu kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang sedang menghala ke Kuala Terengganu bersama 30 penumpang.

    

"Akibat pertembungan itu kedua-dua kenderaan tersebut hangus terbakar dan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Persona itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    

Bagaimanapun, katanya kesemua penumpang bersama pemandu bas terbabit berjaya menyelamatkan diri dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

    

Yahaya berkata berkata pihak bomba yang dimaklumkan tentang kejadian itu kira-kira jam 5 pagi bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Nenasi bersama 11 anggota dan pegawai.

    

Bagaimanapun, katanya mangsa tidak dapat diselamatkan.

    

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, di Ipoh, seorang wanita maut sementara suami dan lima anaknya cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) mereka dipercayai melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 366.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah ke selatan dekat Slim River awal pagi tadi.

    

Dalam nahas jam 2.04 pagi itu, mangsa Wan Markiyah Wan Hamid, 35, yang cedera parah pada kepala dan badan meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Slim River.

    

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, A Ravi berkata kenderaan Toyota Vellfire mangsa melanggar belakang treler itu yang sedang bergerak di lorong kanan.

    

"Wanita itu yang duduk di bahagian hadapan penumpang didapati tersepit," katanya ketika dihubungi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS