Menteri Besar Selangor Tan Sri Azmin berjanji untuk mengkaji semula semua projek lebuh raya yang melibatkan kerajaan Selangor.
"Aspek paling penting untuk Kidex (Lebuh Raya Kinrara-Damansara) adalah semua prasyarat dan aspek dipenuhi.
"Kita akan semak semula semua perjanjian," kata beliau.
Bagaimanapun Azmin tidak mengulas sama ada beliau akan membenarkan lebuh raya bertol.
Jun lalu, mantan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) membuat kajian pembinaan enam lebuh raya berikut dan merangka satu sistem pengangkutan awam bagi Selangor.
Selain Kidex, lima lagi lebuh raya baru yang dirancang ialah Sungai Besi-Ulu Klang Expressway (SUKE), Serdang Kinrara Putrajaya Expressway (SKIP), Eastern Klang Valley Expressway (EKVE), Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Pantai Barat (LPB).
Isu lebuh raya ini digunakan oleh PKR dan DAP ketika memberi alasan mengapa Khalid patut ditukar.
Malah rakyat Selangor terutamanya di kawasan laluan Kidex rata-rata mempertikaikan kepimpinan Khalid menangani perkara ini.