Phee Boon Poh, pengerusi Unit Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang ditahan semalam, mendakwa dia telah disoal siasat oleh pihak polis selama empat jam dan dilayan seperti "penjenayah".
"Mereka bertanya kepada saya segala macam soalan, ambil gambar saya dan ambil cap jari saya sama seperti mereka akan lakukan terhadap seorang penjenayah," kata Phee dalam satu temubual melalui telefon dengan Malaysiakini pada kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Ahli exco Pulau Pinang itu yang bertanggungjawab menjaga PPS,
ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani pada kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas kenyataan beliau direkodkan.
Beliau merupakan salah seorang daripada 156 anggota PPS yang ditahan polis selepas mereka menyertai perarakan hari Kemerdekaan di Esplanade semalam.
"Saya tidak menyalahkan polis, mereka sangat baik kepada saya. Mereka hanyalah mangsa keadaan," kata Phee.
"Tetapi begitu juga dengan saya - saya juga seorang mangsa keadaan," tambah exco ahli itu
Setakat ini, tujuh wanita dan 13 anggota PPS yang berusia lebih 60 tahun dibebaskan pagi ini, manakala malam tadi, tiga orang telah dihantar ke hospital selepas mengadu berasa tidak sihat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengisytiharkan pertubuhan itu haram Selasa lepas kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau memberi amaran akan menangkap anggota PPS yang meneruskan aktiviti sukarela.
Khalid juga menyifatkan 9,000 anggota PPS sebagai "gengster", tetapi Phee telah menafikan sekeras-kerasnya, dan berkata unit adalah sebuah agensi kerajaan negeri.
Phee bermalam dengan anggota PPS lain dalam lokap di mana ada yang tidur atas lantai kerana tempat tidur tidak mencukupi.
"Sekurang-kurangnya, anggota saya tahu yang saya tidak meninggalkan mereka dan jika mereka terpaksa bermalam di lokap, begitu juga saya," kata ahli politik berusia 62 tahun itu.
Phee tidak dapat menemui isteri dan anak-anak perempuannya yang menunggu di luar pintu pagar ibu pejabat polis itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang bersama Phee ketika beliau ditangkap pada jam 4.30 petang semalam, telah menemui anggota keluarga Phee sekitar tengah malam dan menasihatkan mereka supaya "pulang dan berehat."