Presiden PAS menjelaskan Majlis Syura sebelum ini menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor kerana beliau ketika itu masih anggota PKR.
“Maka masalah itu sekarang tidak timbul lagi,” Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily hari ini.
Ditanya tuduhan penyelewengan terhadap Khalid belum lagi dapat dibuktikan kata beliau itu adalah perkara lain, lapor akhbar web PAS itu lagi.
Jawatankuasa Pusat PAS semalam memutuskan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali sebagai calon pengganti Khalid.
Selepas dibawa ke mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat lewat petang semalam, akhirnya hanya Azizah dipilih memandangkan Azmin sendiri akur dengan keputusan PKR yang menamakan Azizah sahaja.
Hadi bercakap dalam sidang media bersama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim, Kota Baharu hari ini.