Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS Kedah kait nahas MH17 dengan unsur kemurkaan Allah
Diterbitkan:  Jul 21, 2014 7:00 PM
Dikemaskini: 5:02 PM

Pemuda PAS Kedah mengaitkan tragedi MH17 dengan “unsur kemurkaan Allah” ekoran hidangan arak dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan pramugarinya yang tidak menutup aurat.

“Dalam tragedi dan musibah yang berlaku ini perlunya pihak kerajaan Malaysia dan MAS melihat unsur kemurkaan Allah yang berada dalam perut pesawat-pesawat MAS yang mewakili syarikat penerbangan sebuah negara umat Islam,” kata ketua penerangannya Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Dalam kenyataannya hari ini, Ahmad Tarmizi berkata, hidangan arak yang tidak pernah cuba dihapuskan dan aspek berpakaian terkeluar daripada landasan syarak juga tidak diendahkan.

Beliau juga berkata, menaiki pesawat MAS tidak menggambarkan ia dikendalikan oleh negara yang saban tahun menganjurkan musabaqah al-Quran, malah sentiasa menjadi johan taranum.

“Hal ini amat mengecewakan ramai pihak memandangkan ayat-ayat al-Quran yang dialunkan mengandungi banyak ayat hukum berkenaan arak dan aurat serta tanda-tanda kemurkaan Allah,” kata Ahmad Tamizi.

Pemuda PAS Kedah juga mencadangkan diadakan soal selidik dan kajian sama ada syarikat itu akan terjejas jika tiada arak dihidangkan dalam MAS dan pramugarinya menutup aurat dan tidak memakai pakaian ketat lagi.

Sementara itu, dewan itu juga turut melahirkan rasa sedih dan simpati kepada mangsa di dalam pesawat berkenaan serta ahli keluarga yang terlibat.

Kenyataan penuh Ahmad Tarmizi: Tidak rugi MAS hentikan hidangan arak


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS