Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Judi haram: Zahid bincang dengan MB, KM
Diterbitkan:  Jul 7, 2014 5:48 AM
Dikemaskini: Jul 7, 2014 3:34 AM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan menteri besar dan ketua menteri bagi membincangkan mengenai masalah judi haram yang semakin berleluasa.

    

Katanya tindakan melawat negeri-negeri itu bagi mendapatkan sokongan terhadap usaha kementerian itu memerangi judi haram, antaranya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga (PHK).

    

"Saya yakin mereka (menteri besar dan ketua menteri), termasuk yang dikuasai pembangkang, akan memberi sokongan kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk membanteras judi haram yang akhirnya akan merosakkan akhlak penduduk di negeri berkenaan.

    

"Masalah (judi haram) ini terlalu serius. Dan saya fikir Selangor yang paling 'hebat'," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga KDN Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar malam tadi.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Sharif, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim.

    

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata pasukan petugas yang diwujudkan bagi menangani kegiatan judi haram itu akan mengadakan kerjasama

dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri selain Jabatan Peguam Negara, PBT, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    

"Ini semua bagi membanteras judi haram termasuk penyitaan premis perjudian, aset perjudian, perkakasan perjudian dan harta benda dipunyai oleh mereka yang menjalankan kegiatan perjudian haram," katanya.

    

Beliau berkata ada undang-undang berkaitan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi beberapa pindaan tambahan diperlukan untuk memperkuatkan

pelaksanaan pencegahan dan pembanterasan.

    

"KDN amat mengalu-alukan usaha Jabatan Peguam Negara untuk membantu membentangkan pindaan itu. Kita harap akan dapat dilakukan dalam sidang Parlimen pada Oktober depan," katanya.

Beliau berkata iltizam politik dan komitmen kerajaan amat jelas dalam membendung serta membanteras kegiatan judi haram dan beberapa mesyuarat penyelarasan antara agensi persekutuan yang terlibat telah diadakan dan akan diperluaskan di peringkat negeri.

    

"Ada yang mencadangkan supaya KPI (petunjuk prestasi utama) ditekankan bagi menentukan penguatkuasaan ini dilaksanakan. KPI ini adalah prestasi yang akan diukur bukan hanya untuk KDN dan PDRM tetapi juga mengukur pencapaian semua agensi pusat dan negeri apabila pelaksanaan penuh dilakukan kelak," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS