Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sepatutnya mengemukakan saman ke atas syarikat pengeluar coklat Cadbury kerana menyalahguna sijil halal.

Katanya, saman tersebut sepatutnya dikemukakan oleh JAKIM dan bukannya oleh NGO lain kerana ia melibatkan kesalahan menipu jabatan tersebut.

Syarikat tersebut, katanya, menipu JAKIM kerana menyalahgunakan sijil halal ke atas produk yang haram dan mengelirukan pengguna lain.

"Saya hairan. Takkanlah JAKIM ni warak sangat sampai tak kisah ditipu syarikat ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti tersebut hari ini.

Mahfuz juga berkata, PAS setakat ini tiada rancangan untuk mengadakan bantahan atau memboikot syarikat pengeluar produk tersebut.

"Saya fikir bila sudah jelas ada penipuan tak perlu boikot. Umat Islam tahu ia ada DNA babi yang tidak boleh dimakan.

"Tak perlu boikot, tak payah makanlah barangan di syarikat tersebut," katanya.

Bagaimanapun, beliau menuntut agar kerajaan mendedahkan nama orang Islam yang menjadi pemegang saham syarikat berkenaan.

Katanya, individu tersebut bertanggungjawab kerana membiarkan isu penyalahgunaan sijil halal itu berlarutan.

"Saya minta kerajaan perincikan siapa pemegang syer dalam Cadbury. Apa yang wakil Islam buat sampai tak sedar hal ini," katanya.

Sabtu lalu, dua produk cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) disahkan Kementerian Kesihatan mengandungi DNA babi.

Penemuan itu disambut dengan pelbagai reaksi, antara dari sebuah NGO yang mahu pengeluar coklat tersebut menanggung kos untuk mencuci darah orang Islam yang memakan bahan berkenaan.

NGO Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Berajaan (ACCIN) juga merancang mengemukakan saman berbilion-bilion ringgit ke atas syarikat antarabangsa itu.

Satu lagi NGO Islam Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), semalam membuat laporan Polis menggesa kilang Cadburry di Shah Alam ditutup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS