Calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud berikrakuntuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dikemukakan di Parlimen untuk membolehkan hudud dilaksanakan.
Katanya, beliau akan berpegang pada ikrar tersebut sekiranya terpilih mewakili Teluk Intan.
Peguam muda itu bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak menentang hudud, namun, pelaksanaannya di Malaysia tidak boleh dijalankan selagi isu sosio-ekonomi tidak diatasi.
"Pendirian saya mengenai hudud adalah sama dengan pendirian parti," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.
Beliau juga berkata penentangan ke atas pelaksanaan hudud dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia tidak akan membuatkan beliau "kurang Islam".
Dyana akan menjadi salah satu daripada segelintir calon Islam yang bertanding atas tiket DAP sekiranya pencalonannya diterima esok.
Namun, beliau percaya bahawa hudud bukanlah satu isu yang akan menjadi tumpuan utama pilihan raya kecil kali ini.
DAP sebelum ini sering menjadi sasaran kritikan dan dituduh anti-Islam kerana berpegang pada pendirian bahawa hudud tidak boleh dilaksana di Malaysia.
Pendirian yang bertentangan dengan PAS itu juga menjadi duri dalam daging dalam kerjasama antara parti Pakatan Rakyat.
"Saya tidak fikir ia akan menjadi satu isu. Malah GERAKAN juga tidak menyokong hudud," katanya.