Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mkini nafi dakwaan enggan terima notis tuntutan PM
Diterbitkan:  May 17, 2014 3:59 PM
Dikemaskini: May 18, 2014 3:07 AM

Malaysiakini menafikan laporan oleh media milik Umno bahawa portal berita itu enggan menerima notis tuntutan berkaitan dengan dakwaan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno.

                              

Surat tuntutan itu diserahkan kepada portal berita tersebut pada hari Khamis melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berhubung komen enam pembaca Malaysiakini dalam dua artikel 'Yoursay' yang diterbitkan oleh lamanweb itu.

 

Wakil firma guaman itu, Raihanah Ariffin kemudiannya dipetik oleh Umno Online sebagai menuduh Malaysiakini pada mulanya berkeras tidak mahu menerima notis tuntutan itu apabila mahu diserahkan di pejabatnya di Bangsar Utama.

 

Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan (kiri) berkata  dakwaan Raihanah itu tidak benar sama sekali dan lamanweb itu telah membangkitkan perkara itu dalam jawapan rasminya kepada surat tuntutan tersebut, yang dihantar kepada firma guaman Najib semalam.

"Pengurus hal-ehwal undang-undang kami, apabila bertemu dengan Raihanah, memintanya menunggu sekejap supaya surat tuntutan itu dapat ditunjukkan kepada mereka yang dialamatkannya," kata Gan.

 

"Terdapat tiga pucuk surat - satu kepada Malaysiakini dan dua lagi kepada saya sebagai ketua pengarang kumpulan dan Fathi Aris Omar, sebagai ketua pengarang.

"Setelah meminta Raihanah menunggu di kaunter penyambut tetamu pejabat, pengurus halehwal undang-undang kami naik ke tingkat atas di mana bilik berita terletak, untuk memaklumkannya kepada saya dan Fathi.

 

"Selepas itu, beliau segera turun untuk mengesahkan penerimaan surat-surat itu. Semua ini mengambil tidak lebih dari lima minit."

 

Gan berkata ironinya ialah dakwaan itu datang dari firma undang-undang yang mewakili pelanggannya yang menuduh Malaysiakini menerbitkan kenyataan yang berunsur fitnah.

 

Kenyataan fitnah Raihanah itu hari ini diterbitkan semula dalam akhbar Umno milik, Utusan Malaysia, manakala akhbar berkaitan Umno, Berita Harian menggunakan petikan yang sama, tetapi memetik Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

 

'Hak untuk menjawab'

 

Surat tuntutan itu berkaitan dengan penyiaran dua artikel yang mengumpulkan pandangan pembaca mengenai cara Najib menangani krisis BN Terengganu baru-baru ini, yang bertajuk ‘A case of the PM reaping what he sows’ dan ‘How much will Najib spend to keep Terengganu?’

Najib yang juga presiden Umno dan partinya menuntut permohonan

maaf tidak bersyarat daripada Malaysiakini, penarikan balik artikel berkenaan dan menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan lagi kenyataan yang serupa.

 

Mereka mengancam untuk mengambil tindakan mahkamah jika Malaysiakini tidak mematuhi tuntutan itu dalam tempoh 48 jam dari tarikh surat tuntutan itu.

Dalam reaksi segeranya, Gan berkata, pihaknya sudah menjangkanya selepas akhbar Umno Utusan Malaysia melancarkan serangan terhadap pembaca Malaysiakini bulan lalu.

Katanya, Malaysiakini sentiasa menawarkan hak untuk menjawab dan akan menawarkannya kepada Najib untuk menjawab dan menyampaikan pandangannya kepada pembaca portal berita itu.

Video: Shafie Apdal sokong PM saman Malaysiakini

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS