Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menyerahkan Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Kini isu yang dibangkitkan adalah sama ada "cadangan" Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan supaya laporan tersebut tidak dihantar ke Parlimen, satu kenyataan yang wajar.
Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, "cadangan" tersebut tidak wajar dan semua laporan penting Suhakam, termasuk laporan tersebut seharusnya dikemukakan secara langsung kepada Parlimen tanpa perlu melalui persetujuan kabinet.
Hal ini kerana institusi Parlimen seharusnya diangkat kedudukannya sebagai tonggak utama sistem kerajaan Malaysia seiring dengan kedudukan kabinet.
Dengan kata lain, sistem perundangan harus berdiri teguh sebagai satu kuasa utama seiring dengan sistem eksekutf, dan bukannya ditadbir sebagai sebuah "jabatan perundangan" di bawah kuasa eksekutif.
Seterusnya, KPRU menggesa supaya tumpuan serius diberi kepada kandungan laporan tersebut. Laporan tersebut mengandungi hasil dapatan dan syor bagi menjaga kepentingan komuniti Orang Asli.
Inkuiri tersebut antara lain mencadangkan agar penambahbaikan terhadap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam tempoh terdekat memandangkan terdapatnya aduan kelemahan agensi itu.
Seperti yang dilaporkan pada 28 Jun 2013, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan bahawa kerajaan akan meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi menambahbaik perlindungan terhadap masayarakat Orang Asli.
Pada awalnya, pindaan tersebut dijangka dibentang dalam sesi mesyuarat kedua, penggal pertama Parlimen Ketiga Belas yang berlansung dari 23 September hingga 3 Oktober 2013, tetapi akhirnya tidak dibawa ke Parlimen.
Bagaimanapun, pengumuman kerajaan untuk meminda Akta 134 tersebut telah menimbulkan pertikaian dalam kalangan masyarakat Orang Asli kerana ia didakwa dibuat tanpa pengetahuan mereka sebagai pihak berkepentingan.
Malahan, Orang Asli berkemungkinan besar terpaksa berhadapan dengan kehilangan 645,000 hektar tanah adat mereka ekoran pindaan tersebut.
KPRU berpendapat, pindaan Akta Orang Asli yang tidak mengambil kira pandangan komuniti Orang Asli, bukan sahaja bukan suatu jalan penyelesaian untuk mempertahankan hak dan kepentingan masyarakat Orang Asli, khususnya dalam soal pewartaan dan pemberimilikan tanah adat mereka, tetapi akta tersebut secara keseluruhannya akan terus berfungsi sebagai suatu akta yang ketinggalan dan tidak relevan pada zaman ini.
Faktor utama yang mengakibatkan nasib komuniti Orang Asli terus tidak terpelihara adalah ketidakcekapan dan kelemahan pentadbiran jabatan yang berkenaan seperti JAKOA di Semenanjung Malaysia.
Maka, KPRU mencadangkan bahawa kuasa JAKOA harus disemak semula dan satu jabatan yang khasnya dikendali oleh wakil yang dipilih oleh masyarakat Orang Asli bagi mengurus isu tanah diadakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.
Cadangan ini juga adalah selaras dengan syor Suhakam dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli dan hasrat komuniti tersebut.
Lantas, penstrukturan semula agensi JAKOA sesungguhnya satu langkah drastik yang sewajarnya diambil tanpa melengah-lengahkan masa.
Tambahan pula, keperluan kewujudan Akta 134 yang diadakan pada zaman pemberontakan komunis dan semasa Darurat bagi mentakrifkan identiti Orang Asli dan membuat peruntukan untuk menciptakan ruang khusus bagi Orang Asli yang akan “melindungi” mereka daripada pihak yang “tidak diingini” harus dipersoalkan sama ada undang-undang sebegini masih perlu diadakan pada zaman ini.
Orang Asli dan tanah tradisi
Seperti yang sedia dimaklumkan, isu tanah merupakan aspek paling penting yang membawa erti yang signifikan sekali bagi masyarakat Orang Asli. Mereka mengamalkan tradisi tersendiri terhadap pengurusan dan perlindungan tanah, wilayah dan sumber.
Tanah dan sumber bukan sahaja merupakan sumber pendapatan mereka, malahan juga sebahagian daripada kehidupan kerohanian dan kebudayaan mereka untuk membentuk identiti dan jati diri mereka sebagai masyarakat Orang Asli. Maka, pengiktirafan hak tanah Orang Asli adalah mustahak dari aspek sosio-budaya dan psikologi, ekonomi, politik dan juga alam sekitar.
Setakat tahun 2010, rizab tanah Orang Asli yang diwartakan di Semenanjung Malaysia hanya meliputi sejumlah 20,670.83 hektar, manakala sejumlah 26,288.47 hektar tanah telah diluluskan tetapi belum diwartakan.
Terdapat 85,987.34 hektar tanah pula dipohon untuk pewartaan namun belum mendapat maklumbalas daripada pihak yang berkenaan. Jadual di bawah dikemaskini oleh Suhakam di dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli menurut data JAKOA.
Nyatanya, dalam tempoh 20 tahun, hanya peningkatan 3.87 hektar
atau 0.02 peratus tanah rizab Orang Asli yang diwartakan, sementara itu permohonan untuk tanah rizab Orang Asli dirizabkan pula meningkat sebanyak 28.3 peratus.
Data juga menunjukkan sejumlah 9,787.86 hektar tanah Orang Asli telah diluluskan untuk pewartaan oleh pihak berkuasa negeri tetapi belum lagi dijadikan rizab Orang Asli. Malahan, sesetengah daripada kelulusan tersebut telah dibuat sejak tahun 1960-an dan 1970-an.
Penting sekali, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Inkuri Nasional, menurut angka yang diumumkan oleh JAKOA seperti pada tarikh 31 Disember 2010, terdapat sebanyak 145,379.67 hektar tanah yang dipegang untuk atau oleh Orang Asli.
Daripada angka ini, tanah yang digazet menurut seksyen 6 dan 7 Akta Orang Asli berjumlah sebanyak 20,670.83 hektar atau 14.21 peratus. Tanah yang telah diluluskan bagi rizab Orang Asli ialah sebanyak 26,288.47 hektar atau 18.08 peratus, dan tanah yang menunggu kelulusan Kerajaan Negeri sebanyak 85,987.34 hektar atau 59.14 peratus.
Pihak kerajaan barangkali menegaskan bahawa tidak pernah meminggirkan kepentingan Orang Asli, namun data yang terpapar tersebut sekali gus menafikan kegigihan yang diperkatakan oleh kerajaan.
JAKOA gagal kendali isu tanah Orang Asli
Di Semenanjung Malaysia, pemohonan pewartaan hanya boleh dibuat melalui JAKOA, iaitu sebuah jabatan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk mengendalikan hal ehwal Orang Asli.
Pejabat Tanah dan Galian hanya menerima permohonan daripada JAKOA untuk proses pewartaan sesuatu kawasan sebagai rizab Orang Asli. Padahal, kebergantungan Orang Asli di Semenanjung Malaysia adalah sepenuhnya kepada JAKOA. Namun, harapkan pagar, pagar makan padi.
Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 di atas, pewartaan yang tidak menyeluruh, sama ada tiada langsung pewartaan ataupun penarikan balik warta adalah diakibatkan oleh kelemahan pentadbiran JAKOA.
Kes-kes sedemikian berlaku apabila julat sepenuhnya tanah adat Orang Asli tidak diambilkira apabila penempatan Orang Asli diwartakan sebagai rizab Orang Ali, atau tanah-tanah yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri untuk diwartakan masih belum diwartakan akibat kegagalan pihak berkenaan menyediakan peta mengikut spesifikasi dan prosedur pemberimilikan tanah yang ditetapkan ke atas mana-mana kawasan yang ingin dirizabkan.
Penarikan balik warta pula berlaku apabila rizab Orang Asli ditarik balik statusnya, dan tanah tersebut kemudiannya dipindahmilik kembali kepada kerajaan atau diberi kepada entiti lain.
Terdapat aduan daripada masyarakat Orang Asli yang menyatakan bahawa urusan surat-menyurat dan rayuan mereka terhadap isu-isu berhubung tanah kepada agensi-agensi kerajaan seperti JAKOA tidak mendapat sebarang maklumbalas ataupun ditolak.
Ketidakupayaan JAKOA dalam pentadbiran, termasuklah ketidakcekapan dalam pengendalian dan penyelesaian isu-isu tanah Orang Asli bukan sahaja menimbulkan ketidakpuasan di kalangan masyarakat tersebut, bahkan menjejaskan kepentingan dan hak Orang Asli secara langsung.
Suhakam juga pernah mengkritik JAKOA tidak berpegang kepada janjiannya terhadap masyarakat Orang Asli, khususnya dalam pelaksanaan Dasar Pembangunan dan Pemberimilikan Tanah Kepada Orang Asli (DPPTOA).
Menurut liputan berita bertarikh 1 Oktober 2012, pesuruhjaya Suhakam menyatakan bahawa JAKOA dan pihak berkuasa yang berkenaan pernah berjanji tidak membuat sebarang pindaan terhadap DPPTOA dan tidak akan melaksanakannya sehingga laporan inkuiri nasional mengenai perkara itu diselesaikan.
Namun, Suhakam telah menerima aduan daripada kumpulan wakil pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) Orang Asli bahawa dasar tersebut telah dimulakan di penempatan Orang Asli seperti di Pahang dan Perak, malah kerja-kerja pengukuran telah dijalankan dan Orang Asli di kawasan itu telah didekati untuk mengedarkan borang akujanji kepada mereka.
Maka, tindakan JAKOA yang tidak menghormati keputusan Suhakam agar menangguhkan pelaksanaan dasar tersebut adalah amat mengecewakan.
DPPTOA merupakan dasar yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 4 Disember 2010. Pada waktu itu, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mendakwa bahawa dasar tersebut diluluskan tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli.
Ia turut didakwa sebagai suatu dasar yang bercanggah dengan piawaian UNDRIP dan telah mencabul hak asasi Orang Asli di Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak untuk menguruskan sendiri tanah asal nenek moyang mereka.
Di bawah dasar tersebut, hanya seluas 4,000 kaki persegi tapak rumah, 2 ekar hingga 6 ekar tanah ladang yang diberi kepada Orang Asli mengikut kemampuan negeri, manakala lebihan tanah adalah tidak boleh dituntut di mahkamah. Nyatanya, ini adalah bertentangan dengan hak asasi Orang Asli yang juga merupakan rakyat Malaysia.
Dasar sebegini juga dikatakan sinonim dengan rampasan tanah yang dibuat oleh syarikat atau korporat serta individi asing yang menceroboh tanah adat dan tanah asal turun-trmurun Orang Asli yang jelasnya mendapat restu dari pihak berkuasa.
Pentadbiran awam yang berunsur kapitalis terlampau ini telah pun melanggari jaminan hak Orang Asli yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Penting sekali, bagi pihak Orang Asli, penamaan dasar tersebut, iaitu “pemberimilikan” itu merupakan suatu kesalahan yang besar, kerana ia menunjukkan bahawa pihak kerajaan tidak mengiktiraf bahawa tanah-tanah adat adalah kepunyaan Orang Asli pada asalnya, dan sepatutnya tanah-tanah adat bukan sesuatu yang “diberi” tetapi diiktiraf.
Pada pandangan mereka, “pemberimilikan” itu merupakan suatu penghinaan terhadap perjuangan masyarakat Orang Asli sekian lama ini.
Kini, Laporan Inkuiri Nasional telahpun diselesaikan dan dihantar oleh Suhakam kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Beberapa persoalan penting yang harus dilemparkan di sini ialah:
Adakah laporan tersebut akhirnya akan dikemukakan untuk perbahasan di Parlimen? Adakah pindaan Akta Orang Asli dibuat dengan merujuk kepada cadangan dan syor Suhakam, serta mengambil kira pandangan komuniti Orang Asli? Ataupun, adakah DPPTOA yang kontroversi tersebut akan diteruskan?
Aduan terhadap JAKAO bukan sekadarnya mengenai isu tanah, prestasinya dalam pengendalian pelbagai program pembangunan sosioekonomi Orang Asli, termasuklah projek pembangunan ekonomi, prasarana dan infrastruktur atau pendidikan dan sebagainya juga kurang memuaskan.
Penjelasan daripada pihak JAKOA adalah bahawa kekurangannya kakitangan dan peruntukan merupakan kekangan dalam menguruskan isu-isu Orang Asli. Bah kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Apakah kesungguhan dan kesanggupan JAKOA dalam usaha mempertahankan hak Orang Asli di samping memajukan mereka?
Penstrukturan semula JAKAO
Di Semenanjung Malaysia, Orang Asli diklasifikasi kepada tiga kumpulan besar, iaitu Negrito, Senoi dan Proto-Melayu yang merangkumi komuniti Kensiu, Kontaq, Jahai, Lanoh, Temiar, Mendriq, Bateq, Semai, Jah Hut, Semaq Beri, Chewong, Temoq, Temuan, Semelai, Mah Meri, Jakun, Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar.
Menurut penganggaran JAKOA, terdapat sejumlah 178,197 Orang Asli atau 36,658 keluarga Orang Asli di Semenanjung Malaysia pada 2010, yakni mencakupi kira-kira 0.7 peratus daripada jumlah penduduk Semenanjung Malaysia.
Meskipun taburan Orang Asli di Semenanjung Malaysia agak rendah, kebajikan dan kepentingan mereka tidak patut sekalipun dipandang ringan. Sebagai pertubuhan yang menjaga segala hal ehwal dan kebajikan masyarakat Orang Asli, JAKAO sepatutnya memikul kewajipannya dengan sedaya usaha.
Apabila menelitikan carta organisasi JAKOA, adalah amat dukacita dimaklumkan bahawa tidak wujudnya bahagian yang mengendalikan isu tanah Orang Asli, sungguhpun isu tanah merupakan isu yang paling penting bagi masyarakat Orang Asli.
Tanpa mengadakan sebuah bahagian yang dengan spesifiknya mengendalikan isu-isu tanah Orang Asli, bagaimanakah usaha pewartaan dan pemberimilikan hak tanah Orang Asli dapat dijalankan dengan cekap lagi berkesan bagi mengembalikan hak asasi tersebut kepada komuniti tersebut?
Di Taiwan, terdapat juga sebuah penubuhan yang dikenal sebagai Majlis Orang Asli (Council of Indigenous Peoples). Seperti JAKOA, ia juga memainkan peranan bagi mengendalikan segala hal ehwal Orang Asli di Taiwan. Apa yang amat berbeza dengan JAKOA ialah Majlis Orang Asli di Taiwan mengadakan pengagihan tugas yang spesifik bagi menangani masalah Orang Asli tertentu.
Terdapatnya lima jabatan yang di bawah Majlis Orang Asli tersebut, iaitu Jabatan Perancangan, Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan, Jabatan Kesihatan dan Kebajikan, Jabatan Ekonomi dan Infrastruktur Am, serta Jabatan Pengurusan Tanah.
Setiap jabatan mempunyai tanggungjawab masing-masing yang dinyatakan dengan jelas. Jabatan Pengurusan Tanah-lah yang berkewajipan dalam usaha memastikan hak tanah Orang Asli serta kawasan tanah mereka tidak terhakis oleh pencerobohan atau rampasan pihak asing, di samping mengurus, merancang, mempelihara, dan menyelaraskan segala pembangunan atau penggunaan tanah Orang Asli
Di samping itu, di wilayah utara Australia pula, Perkhidmatan Tanah dan Perancangan di bawah Jabatan Perancangan Tanah dan Alam Sekitar bertanggungjawab dalam mengendali isu-isu yang berkaitan dengan tanah Orang Asli, serta memberi bantuan kepada Pesuruhjaya Tanah Orang Asli dalam hal menuntut tanah Orang Asli.
Dengan merujuk kepada contoh di Australia, adalah wajar dicadangkan bahawa pengurusan tanah Orang Asli seharusnya dikembalikan kepada Jabatan-Jabatan Tanah, bukannya menerusi JAKOA, sebagai langkah meningkatkan kecekapan.
Sekurang-kurangnya, JAKOA harus mengambil inisiatif giat untuk bekerjasama secara rapat dengan pihak berkenaan, misalnya Pejabat Tanah dan Galian bagi memudahkan kerja-kerjanya dalam pengukuran sempadan dan sebagainya.
Instrumen, perundangan lindungi hak Orang Asli
Menurut Laporan Inkuiri, undang-undang yang terpakai bagi Sabah dan Sarawak, Akta Orang Asli 1954 dan Perlembagaan Persekutuan masing-masing mengandungi peruntukan yang mengiktiraf hak Orang Asal.
Demikian juga, kepentingan asasi terhadap hak tanah Orang Asal dan kaitannya dengan hak-hak yang lain turut juga diiktiraf di dalam UNDRIP, Artikel 8 dan Artikel 10 (pengambilan tanah dan penempatan semula), Artikel 11 (pengamalan dan pemulihan kebudayaan tradisi dan adat), Artikel 18 (penyertaan dalam membuat keputusan), Artikel 25 (perhubungan rohani), Artikel 27 (pengadilan), Artikel 29 (penyertaan dan perlindungan alam sekitar) dan Artikel 32 (pembangunan dan Izin berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMABT)).
Beberapa instrumen antarabangsa telah pun menggariskan kepentingan mengaitkan hak terhadap tanah dengan hak-hak yang lain, termasuk Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (1989), Konvensyen Kepelbagaian Biologi (1992), Agenda 21 (1992), Konvensyen Antarabangsa Memansuhkan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (1965), Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik (1996), Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (1996), Persidangan Antarabangsa Penduduk dan Pembangunan (1994), UNEP Deklarasi 21 Pentadbiran Malmoe (2000), Deklarasi Beijing dan Pelan Tindakan (1995), dan dari UNESCO, Deklarasi Sejagat Kepelbagaian dan Kebudayaan dan Rancangan Tindakan (2001), Konvensyen Perlindungan dan Menyemarakkan Kepelbagaian Ekspresi Kebudayaan (2005), Konvensyen Melindungi Warisan Kebudayaan Tak Ketara (2003), Konvensyen Perlindungan Kebudayaan Sedunia dan Warisan Semulajadi (1972).
Selanjutnya, jurispruden mengenai hak-hak Orang Asal telah dihasilkan oleh badan-badan triti mengenai hak asasi, (ahli jawatankuasa yang mengawalselia perlaksanaan kovenan dan konvensyen hak asasi) yang mana turut memberikan penekanan terhadap kepentingan hubungan antara tanah dan kehidupan Orang Asal. Dukacitanya, bukan semua garis panduan tersebut terterap dalam pelaksanaan dasar negara.
Tambahan pula dengan pembangunan dan penerokaan yang tidak terkawal, hak milik terhadap tanah adat komuniti Orang Asli semakin terhakis. Mereka yang kian terpinggir dalam arus pembangunan pun kehilangan tempat bergantung yang terakhirnya. Tanpanya pengiktirafan hak pemilikan dan hak pengurusan tanah Orang Asli, malang dan dukacita yang dirundung masyarakat Orang Asli tidak akan berakhiran.
Kesimpulan
Sesungguhnya, dasar kerajaan dan undang-undang merupakan aspek-aspek yang tidak dapat diketepikan dalam perbincangan kepentingan dan hak Orang Asli. Namun, perubahan dasar dan perundangan lazimnya memakan masa.
Keutamaan buat masa kini adalah memantau agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang efektif dan berkesan, kerana pelaksanaan merupakan tindakan praktikal bagi menentukan kejayaan dasar-dasar yang dilancarkan dan undang-undang yang diamalkan.
Dalam hal ini, JAKOA tidak dapat melarikan dirinya daripada tanggungjawab yang diamanahkan, dan sewajarnya sanggup menanggung segala kewajipannya dalam menjaga kebajikan dan mempertahankan hak masyarakat Orang Asli.