Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) menyokong cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa pengundian berdasarkan garis perkauman akan memupuk keharmonian kaum dalam negara ini.
Menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu, kiri ), Bung berkata cadangan itu tidak rumit kerana mereka yang berdarah campuran boleh memilih wakil rakyat daripada kaum yang mereka sukai.
"Yang soal dia ada dua tiga keturunan itu dia boleh pilihlah apa dia suka.
"Kalau dia (keturunan) Cina dan Melayu, pandai sukalah dia boleh pilih.
"Dua-dua dia boleh. Ini manusia dia boleh dua alamlah," katanya di Parlimen, tengah hari ini.
Tambahnya lagi, tindakan menyamakan cadangan itu dengan amalan aparteid di Afrika Selatan juga tidak tepat kerana Melayu sebagai kaum majoriti masih menguasai pentadbiran negara.
"Di negara kita ini, orang Melayu majoriti dia lebih banyak dari kaum lain, itu tidak aparteid.
"Dia berhak mendapat lebih daripada bangsa yang lain sebab kita ikut kita punya kebesaran keturunan kaum itu sendiri.
"Pada saya itu cukup baik. Sekurang-kurangnya macam saya suku bangsa saya Sungai Melayu, bolehlah dapat dua atau tiga perwakilan. Sekarang ini satu sahaja," katanya lagi.
Sebelum itu Bung turut mendakwa yang Singapura turut mengamalkan undi berasaskan garis perkauman seperti dicadang Shahidan ( kanan ).
'Ikut puak'
"Di Singapura mereka mengadakan pilihan raya mengikut puak atau mengikut kumpulan etnik seperti dicadangkan YB menteri di jabatan perdana menteri.
"Saya melihat kenapa kita tidak boleh mengunjurkan perkara sebegini di mana mengikut kumpulan etnik itu sendiri dan pastinya setiap suku bangsa itu akan ada perwakilan dia di parlimen atau di dewan undangan negeri.
"Dan ini sudah tentu memberi jaminan keadilan kepada puak-puak di seluruh negara ini.
"Bermakna mana-mana satu puak yang besar, besarlah perwakilan dia.
"Puak-puak yang kecil, kecillah perwakilan dia," kata Bung.
Dalam reaksi segera, Pakatan Rakyat menggesa perdana menteri dan parti komponen BN menyatakan pendirian berhubung kenyataan Bung Mokhtar dan Shahidan Kassim.
"Sekarang dia (Bung Mokhtar) sokong idea ini dan sekarang sudah ada dua MP BN menyokongnya.
"Saya nak tanya sama ada PM sokong idea ini atau tidak. Dan saya nak tanya parti bukan Umno sama ada mereka menyokong idea ini atau tidak," kata Ong Kian Ming (DAP-Serdang) dalam sidang medianya tengah hari ini.
Menurut Ong lagi, cadangan itu tetap perlu diberi perhatian serius kerana dinyatakan seorang menteri yang bertanggungjawab
"Kita perlu ambil beliau secara serius kerana beliau menteri yang bertanggungjawab menjaga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.