Selepas laporan negatif media Australia, MAS menggesa media dan orang awam menghormati privasi anggota keluarga kru dan penumpang pesawat hilang MH370.
Gesaan itu dibuat kerana keadaan sekarang dianggap masa sukar untuk mereka.
“Kebajikan kedua-dua pihak, anggota keluarga kru dan penumpang tetap tumpuan kami.
“Pada masa yang sama, keselamatan penumpang menjadi perkara terpenting buat kami,” menurut kenyataannya.
Mengulas laporan yang antaranya menggambarkan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid sebagai melanggar peraturan dan berfoya-foya, MAS berkata, mereka maklum perkara itu dan memandang serius.
MAS bagaimanapun dalam masa yang sama berasa terkejut.
“Kami tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar dan video-video insiden yang didakwa itu.
“Seperti kamu sedia maklum, kita di tengah-tengah krisis dan tidak mahu tumpuan kita dilencongkan,” menurut kenyataan itu lagi.