Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau langsung tidak ada hubungan dengan tokoh korporat Umno Tun Daim Zainuddin.

Beliau sebaliknya mahu pihak yang mendakwa demikian supaya bertanya sendiri kepada orang berkenaan.

"Orang yang kata saya dipergunakan Tun Daim itu kena tanyalah sendiri kepada Tun Daim sama ada saya dipergunakan. Saya tidak ada hubungan langsung dengan beliau," katanya kepada wartawan selepas majlis penerangan mengenai isu air di Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Kapar G Manivanan, dalam satu kenyataan hari ini, mendesak Khalid menjelaskan mengenai individu yang dikatakan terlibat dalam rundingan penyelesaian luar mahkamah hutang dengan Bank Islam.

Manivanan meminta Khalid menjelaskan sama ada individu berkenaan seorang individu yang rapat dengan Daim.

Khalid dilaporkan menanggung hutang semasa beliau menjadi ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd bagi pembelian 20 peratus saham syarikat itu.

Bank Islam Malaysia membawa perkara itu ke mahkamah pada 2007, setahun sebelum Khalid dinamakan sebagai menteri besar Selangor.

Bank Islam Malaysia dimiliki 100 peratus oleh BIMB Holdings Bhd (BHB), di mana pemegang saham majoritinya merupakan Lembaga Urusan Tabung Haji yang menguasai 54 peratus. Pemegang saham lain adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd dan Amanah Saham Bumiputera.

Mahkamah Rayuan memutuskan pada Mac 2010 bahawa Khalid tidak perlu membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam selepas mengenepikan rumusan penghakiman bank tersebut terhadapnya kerana gagal menyelesaikan kemudahan pinjaman Islam itu.

Pada 21 Ogos 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bank untuk untuk mengemukakan penghakiman terus terhadap beliau dan memerintahkannya membayar RM66.67 juta.

Bagaimanapun Khalid berkata beliau masih tidak boleh mendedahkan cara penyelesaian itu kerana ia masih dalam rundingan bersama peguam beliau.

"Saya ada hubungan dengan bank dan kita guna khidmat peguam, jadi perkara ini masih dalam perundingan dan saya tak boleh dedahkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS