Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perkahwinan hampir tujuh tahun antara pelakon dan penyanyi terkenal Erra Fazira dan suaminya Engku Zainal Abidin berakhir hari ini apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah

Tinggi Syariah Shah Alam.

    

Engku Emran, 39, yang lengkap berpakaian sut kelabu dan bersongkok sebak melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie Mohammad Adib Husain sementara Erra Fazira atau Fazira Wan Chek, 40, yang memakai jubah bercorak batik kelihatan tenang.

    

Mohammad Adib mengesahkan lafaz cerai itu selepas berpuas hati dengan dokumen perceraian dan hak jagaan anak yang difailkan oleh Erra semalam mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

    

Mahkamah turut merekodkan hak jagaan anak tunggal pasangan suami isteri itu, Engku Aleesya, 5, diserahkan kepada Engku Emran sementara hak jagaan bermalam diberikan kepada Erra.

    

Pelakon itu juga tidak menuntut sebarang nafkah daripada suaminya yang dinikahi pada 25 Oktober 2007.

Terdahulu, peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Erra Fazira memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasangan suami isteri itu bersetuju untuk bercerai secara baik selepas tidak tinggal sebumbung selama setahun setengah.

    

Ahmad Nazib juga memberitahu mahkamah bahawa Erra Fazira dan Engku Emran telah mencapai persetujuan bersama berhubung hak jagaan anak.

    

Engku Emran, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, diwakili peguam Roshdan Sujak Rafie.

    

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Erra Fazira yang memakai topeng hidung dan mulut, berkata semua spekulasi dan persoalan mengenai rumahtangganya telah terjawab dengan pengesahan perceraiannya hari ini.

    

Beliau, yang ditemani rakan baiknya pelakon Datin Paduka Umie Aida dan pengarah Erma Fatima, turut meminta semua pihak supaya berhenti bertanya mengenai rumah tangganya selepas ini.

"Alhamdulillah, semuanya sudah terjawab dan terlerai. Ini ialah perceraian saya secara baik dan soal penjagaan anak juga telah dipersetujui bersama seperti yang ditetapkan dalam perjanjian perceraian kami.

    

"Saya harap semua orang akan berhenti tanya saya (mengenai hal rumah tangga)," katanya.

    

Ditanya perancangan beliau seterusnya, Erra Fazira berkata beliau akan memberi tumpuan kepada kerjayanya.

    

Sementara itu, Engku Emran enggan memberi sebarang komen kepada pemberita.

    

Erra Fazira dan Engku Emran kemudian dilihat meninggalkan kawasan mahkamah secara berasingan.

    

Erra Fazira pernah berkahwin dengan pelakon dan penyanyi kumpulan KRU Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 dan bercerai pada 2006.

    

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS