Biro Undang-undang Pemuda MCA meluahkan rasa kecewa berhubung kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung tawaran ganjaran menampar Ahli Parlimen Seputeh berhubung Video Tahun Baru Cina tidak menjamin siasatan dijalankan.
Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Bironya Eric Choo berkata bukan kuasa Zahid atau polis memutuskan sama ada mereka yang menawarkan ganjaran itu telah melakukan satu kesalahan atau tidak.
Eric berkata menteri dalam negeri sepatutnya mengingatkan bahawa tugas dan tanggungjawab polis hanya menyiasat dan kemudian keputusan serta tugas mendakwa terletak kepada peguam negara.
Sehubungan itu, dengan rasa rendah diri, Eric berharap Zahid tidak lagi membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi kes itu sebaliknya membiarkan undang-undang dan prosedur menentukannya.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata tawaran ganjaran wang kepada sesiapa yang pertama menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bukan satu ancaman, maka "tiada apa yang perlu disiasat kerana ia bukan satu ancaman".