Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bendahari MIC letak jawatan serta merta
Diterbitkan:  Jan 27, 2014 1:37 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Datuk R Ramanan, yang diperintah mahkamah untuk mengembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri Tan Sri Dr M. Mahadevan Khamis lepas, hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai bendahari agung MIC.

Ramanan ( kiri ) yang akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel hari ini, berkata keputusan itu dibuat demi kebaikan parti, lapor 

Bernama.

"Saya harap presiden terima peletakan jawatan ini kerana beliau dihentam oleh media kerana masalah ini, walaupun ini kes sivil dan hal peribadi serta tidak berkaitan langsung dengan MIC atau BN, presiden pula menjadi mangsa, jadi ini tak adil.

"Ini keputusan saya sendiri dan saya tak dipaksa atau diminta untuk meletak jawatan," beliau dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada Dr Mahadevan, yang beliau didakwa terima secara palsu ketika "membantu" pakar itu mendapatkan bayaran berkenaan empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong, dalam penghakimannya, berkata beliau setuju dengan peguam Lavinia Kumaraendran dan Cassandra Lee yang mewakili Dr Mahadevan, bahawa Ramanan menipu plaintif sehingga mendorong beliau memindahkan wang berkenaan ke akaun peribadi defendan pada 19 Mei 2010.

Ramanan berkata beliau telah memfailkan rayuan ke atas keputusan mahkamah itu pagi ini.

Ditanya adakah beliau akan menarik balik keputusan untuk meletak jawatan sekiranya keputusan rayuan memihak kepadanya, Ramanan berkata: "Saya serahkan perkara itu kepada presiden dan anggota MIC untuk putuskan".

Palanivel: Belum ada pengganti

Sementara itu, Palanivel ( kanan ) yang juga menteri sumber asli dan alam sekitar berkata, beliau telah berbincang dengan Ramanan berhubung perkara itu dan faham kenapa keputusan itu dibuat.
 
"Saya nasihatkan dia untuk membuat keputusan yang betul," katanya ketika meninjau "rumah" panda di Zoo Negara hari ini.
 
Beliau juga berkata belum mempunyai calon penggantinya walaupun sebagai presiden mempunyai kuasa penuh memilih bendahari agung.


Laporan tambahan oleh Farah Noor Samat.

 

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS