Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan penyokong PKR memijak poster yang mirip bendera Jepun di depan kedutaan itu semalam, bagi membantah sekatan terhadap beliau memasuki negara itu.
"Saya setuju dengan hak ketua AMK membantah keputusan kerajaan jepun tetapi saya tak setuju dengan tindakan termasuk tindakan memijak bendera yang saya rasakan tak perlu," katanya pada sidang media petang ini.
Jelas Anwar, penganjur majlis yang mengundang beliau juga telah memohon maaf kepadanya dan sedang menyemak halangan itu dengan pihak berkuasa Jepun.
Pada masa sama, ahli parlimen Permatang Pauh itu masih lagi menanti penjelasan pihak berkuasa kedua-dua negara berhubung sekatan itu.
"Saya masih menunggu penjelasan daripada Kementerian Luar dan pihak berkuasa Jepun," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di ibu negara petang ini.
Angkatan Muda PKR (AMK) semalam menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur berhubung sekatan yang dikenakan ke atas Anwar memasuki negara itu pada 19 Januari lalu.
Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, mereka menuntut kedutaan Jepun menjelaskan perkara tersebut dan menyatakan permohonan maaf kepada tokoh PKR itu kerana telah bertindak sebegitu.
Sebahagian daripada peserta yang menghantar bantahan itu bertindak memijak poster yang mirip bendera Jepun dan membakarnya di hadapan kedutaan itu.
Mengulas tindakan PKR Selangor yang menghantar nota sokongan kepada pihak PKNS berhubung dua pegawai tertingginya dipindahkan ke pejabat setiausaha kerajaan negeri susulan kemelut penamatan kontrak Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Anwar berkata ia tidak perlu.
"Saya akan menasihatkan, tidak perlu begitu. (Namun), dia boleh bagi pandangan, dia boleh beri teguran," katanya.