Bukan sekadar berkongsi pengalaman, seorang aktivis yang menulis pengalaman sebenar menjaga dua anaknya yang mengalami kecacatan kelumpuhan otak (cerebral palsy) berharap ia akan membangkitkan kesedaran berhubung hak pendidikan kumpulan itu.
Aktivis Mohd Affandi Ramli, 40, yang lebih dikenali dengan nama Ronasina berkata, ada ibu bapa berkenaan kini berterima kasih kepadanya kerana buku Surat Untuk Anak membuka mata mereka mengenai hak pendidikan tersebut.
"Dulu, mungkin mereka tidak berani menuntut hak pendidikan ini. Tapi sekarang mereka sudah mula berkata-kata," kata bapa muda itu yang turut menggerakkan Pertubuhan Harapan Anak Cerebral Palsy (Hope2Walk).
Pengalaman membesarkan dua orang anak cerebral palsy menyebabkan beliau berazam untuk membolehkan golongan sepertinya melihat anak masing-masing menikmati hak mendapat pendidikan.
Beliau menyedari bahawa pembaca buku tersebut pasti berasa sedih apabila membaca mengenai kisah dua puterinya, Annisa dan An-Nur dan susah payah yang dilalui oleh beliau dan isteri, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin.
"Tapi apa yang kami ingin ketengahkan adalah hak pendidikan ini," kata Mohd Affandi yang kecewa kerana masih masih tiada program mahupun sekolah khas yang ditubuhkan untuk golongan tersebut.
Annisa meninggal ketika 10 tahun
Beliau juga pernah bertindak nekad menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen pada Oktober lalu bagi menyampaikan tuntutan berkenaan.
Buku setebal 160 halaman yang baru dilancarkan awal bulan ini antara lainnya merakam saat-saat getir ketika puteri sulungnya, Annisa didapati mengalami kecacatan Cerebral Palsy sejak usia enam bulan.
Puterinya yang kedua An-Nur lahir p ada April 2003, dua tahun selepas puteri pertamanya dan turut disahkan menghidap penyakit sama.
Annisa meninggal dunia pada usia 10 tahun akibat tersedak ketika makan.
Mohd Affandi berkata, walaupun payah, segala peristiwa yang dirakamkan dalam buku itu ditulisnya untuk merakam hari-hari yang dilalui bersama dua puteri tersebut.
Setiap buku yang dibeli juga ditandatangan oleh Mohd Affandi dengan pesanan - Raikan hidup!
Buku terbitan Anak Kunci Production itu boleh diperoleh secara pesanan melalui e-mel [email protected].