Polisi pengurangan subsidi yang menyebabkan kos sara hidup naik terpaksa dilakukan kerajaan bagi mengelakkan negara terus mengalami peningkatan defisit dalam kewangan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurutnya, ia satu keputusan sukar bagi pihak kerajaan namun jika ia tidak dilakukan, ia akan terus memberi tekanan kepada kantung negara.
"Ia adalah satu isu yang sukar bagi kerajaan. Apa pilihan kita? Buat seperti biasa, dengan defisit dan ketidakcekapan?
"Kalau kita teruskan polisi sekarang yang tidak berbuat apa-apa, ia akan menyebabkan tekanan kepada akaun semasa kita.
"Yang penting kita buat ini secara beransur-ansur dalam masa beberapa bulan.
"Rakyat kena faham bahawa jika kita tak buat apa-apa kita akan berhadapan masalah dalam masa depan," katanya sewaktu dalam forum sambutan tiga tahun Program Transformasi Ekonomi di Putrajaya pagi tadi.
BR1M naik, cukai pendapatan turun
Beliau sebelum itu diminta menjelaskan inisiatif bawah ETP untuk membantu mengurangkan kos hidup rakyat susulan kenaikan kos sara hidup bermula awal tahun depan akibat kenaikan tarif elektrik, cukai pintu di Kuala Lumpur serta kadar tol.
ETP adalah inisiatif kerajaan untuk memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan tahunan US$523 bilion menjelang tahun 2020.
Ia diterajui oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Mengulas perkara sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebelum itu menjelaskan bahawa kerajaan telah memperkenalkan beberapa pakej imbangan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos tersebut.
Katanya, kerajaan antara lainnya akan meningkatkan jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan mengenakan jumlah cukai pendapatan yang lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.