Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, kementeriannya memberi kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan kepada Timbalan Presiden Mohamad Sabu yang didakwanya berfahaman Syiah.

NONE "Alangkah baiknya PAS mempunyai keberanian dan menyatakan komitmen politiknya untuk menolak pemimpin Syiah yang menjadi salah seorang pemimpin parti itu.

"Kita tahu siapa pemimpin Syiah dalam PAS. PAS ketepikan perbezaan politik. Ini soal akidah dan keselamatan negara. Kita hairan bagaimana PAS memilih pemimpin Syiah untuk menjadi orang nombor dua (Mohamad) dalam PAS.

"Jangan berselindung, Jamil Khir, KDN (Kementerian Dalam Negeri) beri kuasa, ambil tindakan pada pemimpin PAS (itu)," kata naib presiden Umno itu semasa ucapan penggulungan dalam perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini.

Zahid bagaimanapun hanya menyebut "orang nombor dua" PAS tanpa menyebut secara langsung nama pemimpin PAS itu.

Mohamad Sabu dipilih sekali lagi sebagai timbalan presiden dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Mohamad ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

"Tak boleh komen. Saya tak dengar sendiri," katanya ringkas melalui SMS jawapan kepada Malaysiakini .

Suruhanjaya Menangani Ajaran Sesat

Sementara itu, Zahid juga mencadangkan penubuhan segera Suruhanjaya Menangani Ajaran Sesat melalui kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, ia perlu memandangkan penyebaran ajaran sesat dan Syiah di negara ini perlu diperangi habis-habisan, lapor Bernama .

"Lihatlah apa yang pernah dilakukan oleh gerakan haram seperti kumpulan pelampau agama al-Arqam, al-Ma'unah, Ayah Pin dan Tuhan Harun. Kita tidak mahu ummah kita dipecahkan oleh ajaran-ajaran sesat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS