Pendakwah terkenal Ustaz Mohammad Kazim Elias menolak pelantikan sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mahu menjadi pendakwah yang boleh bergerak bebas dalam usahanya memartabatkan perpaduan umat Islam negara ini.
Ketika mengumumkan keputusan itu di hadapan 2,000 orang yang menghadiri ceramahnya di Taman Ria di Sungai Petani malam tadi, pendakwah itu berkata beliau juga mahu menumpu pada sekolah yang ditubuhkannya, Pusat Pendidikan Al-Barakah di Jalan Maxwell, Ipoh.
"Saya tidak mahu dilabel oleh orang ramai mendapat bantuan Umno dengan menerima jawatan MT," kata Mohammad Kazim yang menemui Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin lepas selepas perdana menteri dan presiden Umno mengumumkan pelantikannya itu baru-baru ini.
Mohammad Kazim berterima kasih atas tawaran perdana menteri itu namun tetap dengan keputusannya untuk tidak menerimanya.
"Saya dah bercakap dengan perdana menteri. Saya ini milik rakyat Malaysia dan bukan milik parti politik. Pengikut kuliah saya lebih suka saya bebas walaupun menyokong agenda perdana menteri yang berusaha memartabatkan Islam," katanya dalam ceramah itu.
Mohammad Kazim berkata dalam pertemuan selama sejam dengan Najib di bangunan Parlimen, perdana menteri memaklumkan tawaran untuk melantiknya sebagai anggota MT Umno dibuat selepas mendapatkan pandangan empat Mufti.
"Perdana menteri memberitahu pelantikan saya adalah untuk memberi nasihat kepada ahli-ahli Umno dan memperkasakan agenda umat Islam dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.
"Saya nampak perdana menteri sangat terbuka dalam hal agama dan meminta saya merangka satu sistem pendidikan terbaik bagi membentuk generasi muda menjadi orang yang lebih baik," kata Mohammad Kazim, yang merupakan antara sembilan orang yang dilantik ke jawatan itu pada 29 November lepas.
Beliau bagaimanapun tetap kecewa dengan tuduhan orang ramai dalam laman sosial dan blog yang melabelnya dengan pelbagai gelaran seperti syaitan bisu, anak babi, gila glamer dan mahukan duit melalui jawatan dalam MT.
"Saya belum lagi beri jawapan mereka dah maki hamun. Macam mana orang PAS yang dikatakan memperjuangkan Islam boleh kata macam tu? Sepuluh tahun saya berkecil hati dengan mereka kerana membuat tohmahan buruk terhadap saya.
"Masa Kedah diperintah PAS saya digam walaupun bukan ahli Umno. Poster gambar saya dilukis dengan bertanduk seolah-olah syaitan. Kemuncaknya mereka kata saya anak babi menyebabkan saya ambil keputusan meninggalkan PAS," katanya.
Sementara itu ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Kampung Manjoi, Ipoh, Mohammad Kazim memperjelaskan keputusannya menolak pelantikan itu bukan atas desakan pihak tertentu, sebaliknya demi menjaga nama baik Umno daripada terus difitnah.
"Nanti orang kata perdana menteri dan Umno bagi duit kepada sekolah Al-Barakah. Saya tidak mahu guru dan pelajar saya dituduh. Kami bukan sekolah Umno dan kami pun tidak mahu Umno bantu sekolah kami, biar sekolah kami berjalan seperti biasa.
"Jika saya terima, orang akan kata Najib beri rasuah kepada Ustaz Kazim sebab itu dia (Najib) offer dan sebab itu sekolah (Al-Barakah) boleh berkembang. Nanti pelajar saya (akan) dikata, sedangkan kami tidak ambil dan Najib sendiri tidak sebut pun untuk beri," katanya.
Beliau juga menolak tawaran itu oleh kerana komitmennya untuk menguruskan hal pentadbiran pusat pendidikan tersebut yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lepas dengan bilangan 1,000 pelajar dan 50 guru.
Mohammad Kazim turut menyangkal dakwaan kononnya keputusan beliau untuk keluar PAS adalah kerana mahu menyertai parti Umno.
Beliau berkata sebagai sebuah parti Islam adalah tidak wajar untuk mengajar pengikutnya membuat tuduhan melulu serta berburuk sangka terhadap orang lain.
"Sebenarnya saya bermain tarik tali di situ. Saya mahu tunjuk bagaimana berdolak-daliknya sikap pemimpin-pemimpin dalam parti (PAS), sekejap kata saya sudah dipecat, kejap kata masih ahli, kejap kata akan dipecat baru cadangan. Macam mana mahu uruskan parti, seperti ini tidak boleh buat," tegas Mohamad Kazim.
Katanya, beliau tidak memilih mana-mana parti, sebaliknya apa yang diperjelaskan adalah bersandarkan kepada al-Quran serta hadis dan walaupun tidak berada dalam Umno beliau terbuka dengan sebarang pandangan.
Beliau berkata pengumumannya untuk bersara daripada berceramah pada 28 November lepas tiada kena mengena dengan tawaran untuk menyertai Umno.
"Tujuan saya nak kurangkan ceramah di uar kerana saya sudah penat dan terlalu banyak masalah termasuk masalah kesihatan. Saya nak tumpukan pada sekolah. Saya takut jika saya aktif dalam MT Umno saya tidak boleh tumpu kepada pelajar kerana saya nak beri tumpuan untuk lahirkan lebih ramai pendakwah agama di sekolah saya," katanya.
- Bernama