Keengganan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield, Puchong berpindah dengan berkongsi tapak dengan SJK Cina Kheng Cheng menyebabkan Projek Penyambungan Jajaran LRT (LEP) di Puchong terus tertangguh.
Naib Presiden Kanan Komunikasi Kumpulan Prasarana Azhar Ghazali berkata projer LEP itu tertangguh sejak 14 Okt 2011 dan ini menyebabkan pembaziran masa dan pertambahan kos.
"Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) yang menjadi pemilik projek LEP sebelum ini sudah menerima segala bentuk kebenaran yang diperlukan bagi memulakan projek namun tidak dapat disempurnakan selepas pihak lembaga sekolah SJKT Castlefield mengubah pendirian dan enggan berkongsi tapak.
"Pelbagai mesyuarat, rundingan dan permohonan balas telah diadakan namun masih menemui jalan buntu dengan pihak sekolah SJKT Castlefield yang menginginkan kawasan tapak seluas 2.4 hektar itu diperuntukkan eksklusif kepada mereka dan meminta SJKC Kheng Cheng dipindahkan ke kawasan lain," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Sepanjang tempoh itu, kontraktor tiada pilihan selain terus menunggu yang menyebabkan pembaziran masa, pertambahan kos dan penantian lebih lama kepada penduduk termasuk di Putra Height, Bandar Kinrara, Projek Perumahan Bukit Jalil dan Puchong.
"Segala usaha mencari penyelesaian menemui jalan buntu...di pihak kami, kami mahu ia diselesaikan segera untuk mengelakkan kelewatan lebih lama," katanya.
Dilaksanakan di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Negara, projek LEP ini melibatkan penyambungan jajaran daripada kedua-dua laluan LRT sekarang-Laluan LRT Ampang dan laluan LRT Kelana Jaya yang dijadualkan siap awal 2016.
- Bernama