PAS akan mengetuai "himpunan rakyat besar-besaran" untuk memprotes pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), ketirisan kerajaan dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
Usul itu telah dilulus sebulat suara selepas dibahaskan di Muktamar PAS di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini.
Ketika membentangkan usul tersebut, Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata ia untuk mendesak kerajaan menarik balik pelaksanaan GST dan TPPA, dengan menggemblengkan semua parti dalam Pakatan dan NGO.
Menurutnya, pelaksanaan GST yang disebutnya 'Gasak Sampai Tertonggeng' membolehkan kerajaan menambah pendapatan sebanyak RM70 bilion sedangkan ketirisan, amalan rasuah dan pembaziran tidak atasi.
"Kalau dulu cukai, orang berada sahaja bayar cukai, tetapi dengan GST dengan kadar enam peratus, semua kena bayar. Inilah 'baiknya' kerajaan BN," sindir Mohamad.
Katanya, himpunan itu juga untuk membongkar dan membantah penyelewengan sebagaimana yang dilapor dalam Laporan Ketua Audit baru-baru ini.
"Bak kata penyanyi Aishah, inilah 'Janji Manismu'. Kenapa kerajaan tidak memilih untuk melawan kebocoran, rasuah, pembaziran (terlebih dahulu)," katanya sewaktu menyampaikan usul tersebut.
Usul itu kemudiannya dibahas lima perwakilan, antaranya perwakilan Tambun, Dr Khairuddin Abdul Malek, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khairul Aman Razali, perwakilan Negeri Sembilan Khairul Azidi Ishak dan dua perwakilan lain.
Selepas dibahas usul tersebut disokong dan diterima sebulat suara selepas perwakilan bangun dan melaungkan takbir sebanyak tiga kali.