Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Penulis bimbang terhadap masa depan keharmonian kaum dan kemajmukan agama di Malaysia ekoran respon radikal pelbagai pihak seusai keputusan mahkamah rayuan berhubung penggunaan nama Allah oleh akhbar Katolik The Herald.

Semua pihak digesa menghormati keputusan tersebut berdasarkan semangat salus populi suprema lex .

Namun dalam waktu sama, konsep tersebut juga digesa digunapakai ke atas semua pihak tanpa memilih bulu, hatta terhadap warga Islam yang didakwa menghina agama lain ataupun mencerca kaum lain.

Sehubungan dengan itu, penulis pelik mengapakah sesetengah pihak ekstrimis bangsa dan media yang masih bebas menimbulkan keresahan kaum dengan kenyataan mereka seperti menghina bangsa tertentu yang tidak menyokong kerajaan.

Perkara ini termasuk menggesa Bible dibakar, menyuruh penganut agama lain berpindah dari Malaysia, menggelar parti politik tertentu sebagai kafir harbi yang wajib diperangi ataupun menghina sesuatu agama dan bangsa dalam ceramah umum.

Bagaimanapun golongan ini tidak dikenakan sebarang tindakan.

Dalam waktu yang sama, penulis kurang bersetuju dengan sikap sesetengah pihak Kristian yang agak agresif di dalam usaha memurtadkan umat Islam secara teratur dan penuh licik.

Penulis berharap konsep saling hormat menghormati dan saling belajar dari satu sama lain berteraskan konsep li ta'arafu (saling berkenalan) dan juga karamah insaniah (kemuliaan manusia) dalam ayat 14, surah al-Hujurat dijadikan panduan bagi rakyat Malaysia demi masa depan yang lebih harmoni dalam realiti demografi bangsa Malaysia yang jamak budaya dan agama.

Sehubungan dengan itu, ruang intelektual, akademik, masyarakat sivil dan kemasyarakatan yang bebas dari agenda politik parti perlu diberdayakan dan diberikan kepercayaan untuk tujuan tersebut.

Ini memandangkan pihak berkuasa gagal mewujudkan suasana yang kondusif dan tidak dibuat-buat kerana keuntungan politik pihak tertentu.

Penulis juga menyeru golongan akademik dan cendekiawan arus sederhana (middle ground) dari pelbagai agama agar bersama untuk menyelamatkan keadaan di Malaysia dengan meningkatkan forum persefahaman agama dan dialog harmoni antara pelbagai kefahaman semenjak di peringkat sekolah lagi.

Mereka perlu mencorakkan wacana baru yang lebih harmoni berkaitan hubungan agama dan kaum dan mengambil alih dari wacana konfrantasi yang kini dimanipulasi oleh golongan politik, ekstrimis dan radikal kaum dari pelbagai agama dan bangsa yang mempunyai agenda masing-masing.


DR MASZLEE MALIK adalah pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS