Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes kematian pelatih PLKN: Tiga lagi ditahan

Polis hari ini mendapat perintah sambung reman terhadap tiga pelatih lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelatih kem itu baru-baru ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rompin Mohamed Ruhizat Abdullah selepas tempoh tahanan reman tujuh hari terhadap kesemua mereka tamat hari ini dan disambung sehingga 6 Okt depan.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya, tiga pelatih berusia 18 tahun itu sebelum ini ditahan reman minggu lepas bagi membantu siasatan berhubung kematian Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, pada 23 Sept lepas.

"Tiga lagi pelatih lelaki, dua berusia 18 tahun dan seorang 22 tahun turut ditahan semalam dan polis hari ini juga mendapat perintah tahanan reman sehingga 7 Okt depan bagi membantu siasatan,"  katanya kepada Bernama di Pekan.

Menurut laporan awal, keputusan bedah siasat Hospital Muadzam Shah mendapati punca kematian Muhammad Suhaimi disebabkan pendarahan dalam kepala akibat hentakan objek tumpul.

Mangsa dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di kem itu.

Muhammad Suhaimi ditemui rakannya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bilik air asrama kem berkenaan pada kira-kira 12.04 tengah malam hari kejadian.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah namun disahkan meninggal dunia sejurus sampai di hospital berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS