Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bagi memudahkan calon-calon yang bertanding, ibupejabat Umno dengan kerjasama badan perhubungan Umno negeri, akan menganjurkan sesi jelajah mulai 1 Oktober bagi memperkenalkan mereka yang bertanding kerusi Majlis Tertinggi dan tiga sayap pati itu.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata sesi tersebut merupakan majlis yang dibenarkan oleh jawatankuasa parti.

Bercakap dalam satu sidang akhbar petang ini, beliau berkata kesemua sesi tersebut akan diadakan di badan perhubungan Umno negeri masing-masing berdasarkan waktu yang ditetapkan.

Abdul Rauf berkata bagi negeri disebelah utara - Perlis, Kedah, Pulau Pinang - ia diadakan pada 1 Oktober.

Manakala 4 Oktober melibatkan Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan. Kelantan, Terengganu dan Pahang (6 Oktober), Negeri Sembilan, Melaka, Johor (8 Oktober) dan Sabah pada 9 Oktober.

NONEMenurut Pengerusi jawatankuasa pemilihan parti, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata 260 calon mendaftar untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi Umno dan tiga sayap Umno dalam pemilihan bulan depan.

Beliau berkata, seorang calon naib ketua Wanita Umno iaitu Datuk Hamidah Osman menarik diri.

"Bermakna jawatan Majlis Tertinggi dan sayap-sayap, hanya seorang (calon) sahaja yang menarik diri iaitu calon naib ketua Wanita," katanya dalam satu sidang akhbar petang ini.

Pemilihan Majlis Tertinggi akan berlangsung pada 19 Oktober ini, manakala pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan berlangsung pada 12 Oktober.

Mengulas lanjut, Tajol berkata seramai 33,682 calon yang menawarkan diri bagi peringkat negeri. Sabah mencatatkan jumlah tertinggi seramai 4,453 calon dan Perlis adalah jumlah terendah seramai 638 orang.

Calon daripada Kedah seramai 2,848, Kelantan (2,595), Melaka (1,193), Negeri Sembilan (1,436), Pahang (2,628), Perak (3,983), Pulau Pinang (1,960), Selangor (4,035), Terengganu (1,540) dan Wilayah Persekutuan sebanyak 2,123 calon.

Seramai 268 calon telah menarik diri, iaitu dua dari Perlis, Kedah (16), Kelantan (30), Terengganu (15), Pulau Pinang (32), Perak (35), Pahang (29), Selangor (37), wilayah Persekutuan (19), Negeri Sembilan (29) Melaka (17), Johor (1) dan Sabah (6).

NONEBagaimanapun, Abdul Rauf berkata senarai jumlah itu adalah di peringkat awal kerana ibu pejabat parti sedang membuat saringan dengan Jabatan Insolvensi dan pihak mahkamah.

"Calon-calon yang didapati dalam senarai bankrap (dan) dalam senarai Jabatan Insolvensi, secara automatik namanya akan dinyahkan dari senarai (calon yang bertanding).

"Calon yang ada kes mahkamah dan yang didakwa, mereka ini juga dinyahkan dalam senarai," katanya.

Abdul Rauf berkata, senarai pendek calon akan dikeluarkan selepas ibu pejabat parti membuat semakan dengan kedua-dua badan tersebut dan akan diumumkan sebelum 7 Oktober.

NONESementara itu, Pemangku Lembaga Displin Umno Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas mengumumkan Tataetika Ahli Umno yang mengandungi perkara yang dilarang semasa tempoh kempen pemilihan parti kali ini.

Dalam kenyataan medianya, beliau mengingatkan bahawa tataetika itu perlu dijadikan panduan dan rujukan sepanjang tempoh tersebut dan boleh dikenakan mana-mana hukuman di bawah fasal 20.9 (a)-(e) Perlembagaan Umno jika ahli Umno melakukan kesalahan itu.

Ahli Umno dilarang melakukan kesalahan berikut, antaranya:

  • Dilarang melakukan rasuah atau sokongan politik.
  • Dilarang menggunakan kekerasan dan ugutan.
  • Dilarang menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah, majalah, makalah, buku atau lain-lain karya secara langsung atau tidak langsung yang mempunyai unsur-unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana ahli.
  • Dilarang mengeluarkan sesuatu kenyataan tentang seseorang ahli yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindari atau mengelaknya.
  • Tidak boleh menganjurkan sama ada secara langsung atau tidak sebarang perhimpunan, pertemuan, jamuan atau apa-apa majlis yang membabitkan ahli bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana calon kecuali anjutan ibu pejabat Umno dan/atau jawatankuasa pemilihan negeri bawah seliaan Badan Perhubungan Umno negeri.
  • Dilarang sama ada secara langsung atau tidak langsung memberi sebarang bentuk derma, bantuan atau peruntukan atas kapasiti persendirian atau melalui orang lain dengan tujuan untuk mendapatkan undi atau sookongan atau mempengaruhi ahli di dalam pemilihan parti bagi pihak sendiri atau orang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS