dikemaskini Presiden Umno Datuk seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan menang tanpa bertanding untuk kedua-dua jawatan tersebut.
Ia berikutan tiada borang pencalonan lain diterima apabila proses penyerahan borang ditutup 5 petang ini.
Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusof mengumumkan perkara itu dalam sidang media sebentar tadi selepas penamaan calon untuk pemilihan Umno ditutup petang tadi.
Dalam sidang media tersebut, Rauf mengumumkan sebanyak 261 borang pencalonan telah diterima untuk pemilihan kali ini meliputi kerusi majlis tertinggi, serta tiga sayap terdiri daripada Pemuda, Wanita dan Puteri.
Menurutnya, enam calon menawarkan diri untuk merebut tiga kerusi naib presiden, lima calon bertanding jawatan ketua Pemuda, tiga calon merebut jawatan ketua Wanita dan dua calon merebut kerusi ketua Puteri.
Baki pencalonan pula adalah pencalonan untuk jawatan pengerusi tetap dan timbalan serta exco semua sayap berkenaan.
Semua calon-calon yang telah menawarkan diri kini mempunyai tempoh bertenang selama 72 jam jika mereka menukar fikiran untuk menarik diri daripada bertanding.
Senarai akhir calon-calon akan diumumkan pada hari Selasa depan, kata Rauf.
Sementara itu, Bernama melaporkan, borang pencalonan Najib diserahkan Setiausaha Politik beliau Datuk Khairun Aseh (kiri) yang hadir mewakili Najib di Bilik Labuan, tingkat 5, PWTC semasa proses penamaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pencadang kepada Perdana Menteri bagi jawatan itu manakala penyokongnya ialah Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Selain mempertahan jawatan Najib juga akan mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Pekan.
Borang pencalonan beliau untuk bertanding jawatan Ketua Umno bahagian itu diserahkan melalui wakilnya, Setiausaha Umno Bahagian Pekan Datuk Zainal Abidin Pa' Wan, di Bangunan Umno Pekan di sini sejurus selepas 10 pagi ini.
Ia diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan Umno Negeri Pahang Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim. Najib, 60, memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Pekan sejak 1982.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengemukakan kertas pencalonannya untuk mempertahan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pukul 8 pagi.
Kertas pencalonan Muhyiddin diserahkan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Nardin Awang (foto atas, kanan).
Najib ialah pencadang kepada pencalonan Muhyiddin manakala penyokong ialah Tengku Adnan.
Najib memenangi kerusi presiden tanpa bertanding pada 26 Mac 2009 dan beliau cuba mempertahankannya bagi penggal kedua kali ini.
Najib dan Muhyiddin menghadiri perarakan rapat raksasa sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-80 tahun di Dataran Merdeka, pagi ini.
Dua hari lepas, Najib mengumumkan akan mempertahan jawatan itu berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi.
Muhyiddin memenangi kerusi timbalan presiden parti apabila mengalahkan pencabar tunggalnya Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada pemilihan Umno 2009.
Muhyiddin mempertahan jawatan itu bagi penggal kedua kali ini.
Manakala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang pertama serah borang pencalonan sebagai anggota Majlis Tertinggi di PWTC pagi ini.
Proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 dibuka di seluruh negara 8 pagi ini.
Proses penamaan bagi semua jawatan termasuk tiga sayap di peringkat pusat diadakan di ibu pejabat Umno di sini manakala peringkat bahagian termasuk tiga sayap di pejabat badan perhubungan Umno negeri masing-masing. Proses itu tamat 5 petang ini.
Ini merupakan kali pertama Umno mengadakan pemilihan dengan kaedah baru yang lebih telus dan demokratik ekoran pindaan perlembagaan parti pada 2009.
Setelah proses penamaan itu selesai, tempoh bertenang selama 72 jam atau tiga hari diadakan bagi membolehkan Jawatankuasa Pemilihan menyemak kelayakan mereka yang ingin bertanding itu sebelum senarai calon diumumkan.
Proses pemilihan baru itu turut memudahkan syarat bertanding dengan hanya perlu menjadi ahli Umno selama tiga tahun dan anggota jawatankuasa bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) selama sepenggal untuk bertanding jawatan MT.
Bagi pertandingan di peringkat bahagian, mereka hanya perlu menjadi ahli Umno sekurang-kurangnya tiga tahun.
Ini berbeza dengan syarat kuota tertentu yang diperlukan sebelum seseorang boleh bertanding jawatan MT sebelum ini.
Proses pengundian baru pula memberi kuasa kepada lebih ramai anggota iaitu 146,500 anggota perwakilan dari 191 bahagian yang bertujuan antaranya menghapuskan gejala politik wang.
Pengundian ketiga-tiga sayap peringkat bahagian dan pusat akan diadakan 12 Oktober manakala pengundian peringkat bahagian dan MT pada 19 Oktober.
Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan di sini dari 2 hingga 7 Disember.
- Bernama