Seorang calon dalam pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP menyelar pemimpin tertinggi parti itu yang didakwa melayan pemimpin Melayu dalam parti tersebut sebagai “kaum 50 sen” dalam pergerakan tersebut.
Bekas naib pengerusi DAP Zulkifli Mohd Noor menggelarkan Lim Gua Eng sebagai diktator dan menuduh ketua menteri Pulau Pinang itu memasang hasrat untuk mengukuhkan kedudukan sendir, dan juga bapanya Lim Kit Siang dalam parti.
Zulkifli mendakwa demikian dalam satu sidang media seperti dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris The Star hari ini.
“Orang Melayu hanya 'kaum 50 sen' dalam DAP dan tanpa golongan ini, mereka tidak dapat mencapai (jumlah keanggotaan) satu juta,” kata Zulkifli seperti dipetik dalam laporan itu.
Beliau seterusnya mendakwa, Guan Eng semakin menunjukkan sikap sebagai pemimpin autokratik dan diktator dan perkara ini menyebabkan ramai anggota Melayu dalam DAP susah hati.
Zulkifli turut menyalahkan Guan Eng atas masalah yang timbul dalam pemilihan CEC pada Disember lalu dan menuntut tokoh parti tersebut memikul tanggungjawab dengan meletak jawatan sebagai setiausaha agung.
Beliau merupakan salah seorang dari 62 orang calon DAP yang akan merebut 20 kedudukan yang dipertandingkan dalam pemilihan semula pada 29 September.
Turut bertanding adalah tujuh lagi pemimpin Melayu.