Ahli Jawatankuasa Umno Kulim Bandar Baru, Raihan Suleiman Palestin memutuskan untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.
Raihan, 47, dalam laman Facebook beliau berkata niat utamanya adalah untuk menjadikan pergerakan itu mantap seiring dengan agenda parti serta memperkasakan sayap paling kuat dalam Umno itu.
"Mungkin saya bukan calon popular, saya juga mengakui perkara ini sebelum menawarkan diri, tetapi ini bukanlah satu risiko yang besar kerana saya cukup percaya, perwakilan kelak sudah bijak menentukan siapakah yang layak.
"Isu popular atau tidak bukan isu utama, mereka undi pada hemat dan pemerhatian mereka terhadap kualiti calon," katanya.
Beliau berkata walaupun terkejut dengan penarikan diri Datuk Seri Azalina Othman Said daripada bertanding merebut jawatan Ketua Wanita, namun perkara itu tidak mempengaruhi pendiriannya untuk tetap terus bertanding.
"Saya perlu bangkit untuk bersama-sama meneruskan legasi Wanita Umno yang hebat. Saya bertanding bukan suka-suka, tetapi dengan rela hati dan jiwa.
"Apabila wujudnya pemilihan, di situlah adanya kepelbagaian, dan apabila wujudnya kepelbagaian, di situlah adanya kekuatan. Fikir positif kerana kita Wanita Umno yang terbuka," katanya.
Ahli Umno seumur hidup itu berkata beliau juga cukup bersedia untuk
memimpin Wanita Umno kembali kepada fitrah, mewasatiyyahkan saf dan jemaah Wanita dan membuktikan bahawa Wanita Umno adalah ibu rakyat.
Baru-baru ini, Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang serta bekas Ketua Puteri Umno menarik diri daripada bertanding jawatan nombor satu sayap Umno itu dan hanya akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi.
- Bernama