Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Tak wajar tarik gelaran SN Pak Samad
Diterbitkan:  Sep 5, 2013 1:54 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

PAS menyelar pihak yang mahu kerajaan menarik balik gelaran Sasterawan Negara (SN) dari Datuk A Samad Said.

Ketua penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuntutan seperti itu tidak wajar kerana A Samad banyak berjasa dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu walaupun "tidak mesra kerajaan".

NONE "Ketokohan dan keberanian Pak Samad pada usianya yang lanjut untuk melawan kemungkaran dalam sistem pilihanraya melalui BERSIH telah menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda.

"Di sanubari rakyat, Pak Samad bukan sahaja adalah Sasterawan Negara, malah kini terkenal sebagai hero kerana kekentalannya dalam memperjuangkan prinsipnya dan melawan kemungkaran kerajaan," kata Tuan Ibrahim.

Kenyataan itu timbul ketika polis menggiatkan siasatan ke atas A Samad, yang berucap dalam satu perhimpunan bersama individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu.

Menurut Tuan Ibrahim juga melihat bahawa tindakan kerajaan ke atas pengerusi bersama BERSIH itu sebagai satu usaha untuk mengalih perhatian isu kenaikan harga minyak.

"Tindakan kerajaan salah saja tangkap, salah sikit tangkap, benar-benar menjadikan Malaysia negara polis. Sedangkan dialog, perbincangan dan pelbagai medium boleh diguna bagi menjernihkan keadaan," katanya.

Beliau juga menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang mengulas mengenai tindakan tersebut, agar mengadakan dialog bersama Pak Samad dan tidak mencemuhnya di media.

Menyokong pandangan Tuan Ibrahim itu, ketua penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Yusapiza Yaacob menyifatkan desakan tersebut sebagai satu "ugutan, tidak bermoral dan zalim" terhadap A Samad yang menabur banyak jasa memartabat sastera negara.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya menarik balik gelaran kepada para pemimpinyang terlibat dalam salah laku dan rasuah.

"Mereka inilah yang perlu dihukum dan bukannya seorang tua yang hanya membaca puisi.

 "Hakikatnya, petualang-petualang negara ini bebas berada di dalam negara, tanpa sekatan dan masih lagi memegang jawatan-jawatan tinggi dalam negara," katanya yang tidak menyebut nama individu tertentu.

 

 
 
 
 
 
 
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS