Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan agar Jabatan Penerangan membuat tayangan bergerak untuk mendedahkan khalayah umum di Pulau Pinang kepada filem Tanda Putera .
Katanya, kaedah 'wayang pacak' itu boleh digunakan bagi menghadapi tindakan kerajaan Pulau Pinang yang menghalang filem berkenaan ditayangkan di pawagam negeri tersebut.
Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau juga berharap agar pengusaha pawagam akan meneruskan tayangan.
"Harap mereka (pawagam) teruskan. Kalaupun ada usaha nak halang tengok filem di Pulau Pinang atau di mana-mana sahaja, saya minta, Jabatan Penerangan hantar wayang pacak ke semua padang di Pulau Pinang.
"Tayangkan Tanda Putera. Kalau tidak dibenarkanlah. Tapi saya harap ia dibenarkan kerana ini filem sejarah negara kita," katanya dalam sidang media di sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran kementeriannya di ibu negara hari ini.
Beliau juga berpandangan bahawa filem tersebut wajar ditonton kerana ia memaparkan kisah negarawan yang menyelamatkan negara selepas insiden 13 Mei.
"Saya harap rakyat menontonnya. Kita tidak marah pada mana-mana kaum. Filem itu menunjukkan peristiwa sejarah yang mana kita marah kepada pengganas komunis yang terdiri daripada Cina dan Melayu.
'Kita marah pengganas'
"Kita marah pada pengganas, bukan mana-mana kaum," tambahnya.
Mengulas lanjut tindakan kerajaan negeri itu, Khairy menyifatkan langkah tersebut "amat tidak munasabah dan dwi-standard" bagi sebuah negeri yang ditadbir parti yang dianggap memperjuangkan demokrasi, kebebasan bersuara dan berekspresi.
"Tiba-tiba ada filem yang berdasarkan kepada sejarah, diminta tidak ditayangkan di pawagam. Saya rasa memang double standard .
"Bila kena kepada batang hidungnya, tidak ada lagi kebebasan berekspresi, kebebasan bersuara. Tidak ada lagi manifestasi demokrasi melalui kebebasan kreatif," katanya.
Beliau yang telah menonton filem itu berkata filem itu menceritakan bagaimana Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail menyelamatkan negara selepas peristiwa 13 Mei.
Malah beliau yang juga ketua Pemuda Umno Malaysia berpendapat filem itu adalah filem sejarah dan "ia tidak ada kena mengena" dengan pemimpin DAP.
"Jadi apa yang Lim Guan Eng terasa sangat, dia perasan sangat. Ia tidak ada kena mengena dengan beliau dan (Lim) Kit Siang. Ini adalah mencerita kisah sejarah.
"Kalau ada babak-babak dalam filem itu yang menggunakan creative license , yang disebabkan kreativiti pengarah dan sebagainya, itu perkara biasa dalam mana-mana gambaran sejarah," katanya.