Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek menyelar tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang meminta  filem Tanda Putera tidak ditayangkan di negeri itu.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan mengkaji sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) Pulau Pinang mempunyai kuasa untuk menghalang filem itu dari ditayangkan.

"Saya akan kaji kerana masih terlalu awal. Dia (kerajaan negeri) tak faham, kerja mengharamkan dibuat oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan khusus untuk filem yang tak sesuai seperti lucah dan sebagainya dan juga Lembaga Penapisan Filem.

"Tak pernah kerajaan negeri (haramkan filem). Ini gambaran fikiran sempit dan mula nak buat budaya mengharamkan ini melebihi tahap tak sepatutnya," katanya.

Shabery juga berkata kerajaan akan mengkaji sama ada tindakan kerajaan negeri itu akan memberi kesan terhadap perkembangan seni dalam negara.

Beliau juga khuatir sekiranya selepas ini kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengharamkan lagu negaraku dari dimainkan.

"Apakah selepas haramkan filem ini benda lain nanti nak diharamkan. Kita takut lagu Negaraku pula nanti begitu. Dulu kerajaan Selangor haramkan logo 1Malaysia," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran promosi sambutan Hari Kebangsaan Ke-56 di ibu negara hari ini.

Dalam kenyataan lanjut selepas itu, Shabery berkata tindakan kerajaan Pulau Pinang yang meminta filem Tanda Putera tidak ditayangkan mencerminkan "kebodohan" kerajaan negeri itu.

"Itu membayangkan kebodohan mereka. Orang yang membuat keputusan itu, mereka sendiri tidak menonton filem tersebut. Seharusnya mereka mendengar pandangan profesional terlebih dahulu sebelum membuta-tuli mengharamkan," katanya lagi.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini dilaporkan akan meminta pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem 'Tanda Putera' yang dijadualkan ditayangkan di seluruh negara mulai esok.

Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow, yang bertanggungjawab

terhadap kerajaan tempatan, dan oleh itu juga ke atas lesen pawagam, berkata, pihaknya akan mengeluarkan permintaan bertulis hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS