Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes tembak pengerusi MyWatch, polis tak tolak motif dendam
Diterbitkan:  Jul 28, 2013 4:29 PM
Dikemaskini: Jul 29, 2013 12:59 AM

Polis tidak menolak kemungkinan insiden tembakan ke atas Pengerusi badan pemantau jenayah Mywatch, R. Sri Sanjeevan semalam bermotifkan dendam.

    

Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata bagaimana pun perkara itu masih dalam siasatan dan pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian itu.

    

"Pihak polis juga sudah mengambil kenyataan dari rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian dan dari semasa ke semasa akan berhubung dengannya untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

    

Sri Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang.

    

Osman berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi melancarkan siasatan  yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pihak polis.

    

Beliau berkata mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar hari ini, setelah mendapat rawatan di Hospital Jempol.

    

Beliau berkata mangsa dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru dari bahagian rusuknya hari ini.

    

"Bagi menjaga keselamatan mangsa, pihak polis turut menempatkan anggota yang akan menjaga mangsa di hospital," katanya.

    

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang memandu ke Taman Cempaka untuk menjemput rakannya keluar minum di Pekan Bahau.

    

Semasa dalam perjalanan selepas menjemput rakannya, mangsa menurunkan cermin sisi keretanya jenis BMW untuk menghisap rokok dan memperlahan keretanya apabila tiba di satu simpang.

    

Dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC kemudiannya dikatakan menghampiri kereta mangsa lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa yang mengenai dan menembusi siku kanan sebelum terkena rusuknya.

Salah seorang lelaki itu cuba menghampiri mangsa, bagaimanapun mangsa yang masih sedar terus memecut keretanya sejauh 300 meter sebelum meminta rakannya memandu dan membawanya ke hospital.

    

MyWatch yang dinaungi bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan merupakan badan yang memantau keadaan jenayah dalam negara.

    

Sri Sanjeevan yang bertindak selaku pengerusi badan itu sebelum ini lantang menyuarakan dan membuat laporan polis berhubung aktiviti perjudian haram di negeri ini terutama di Jelebu dan Jempol dan pernah menerima ugutan dan ancaman di atas tindakannya itu.

Dalam pada itu, Osman berkata rakan mangsa yang bersamanya semasa kejadian tembakan itu, ditahan tengah malam tadi berhubung satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

    

Beliau berkata suspek dikehendaki sejak awal tahun ini dan polis bertindak memberkasnya di Balai Polis Bahau semasa dia datang membuat laporan berhubung kejadian tembakan itu.

    

"Penahanan rakan R. Sanjeevan ini tidak ada kena mengena dengan kes tembakan ini. Ia adalah kes yang berasingan kerana dia memang dikehendaki sebelum ini.

    

"Jadi jangan ada pihak cuba membuat spekulasi terhadap mana-mana kes sehingga mengganggu siasatan polis," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS