Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berjanji untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap kes pengerusi NGO MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak semalam.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata percubaan membunuh Sanjeevan mungkin ada hubungan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai kaitan anggota polis dengan sindiket jenayah.
Melaui Twitter pagi ini, Khalid berkata beliau memberi jaminan kepada keluarga dan orang ramai bahawa siasatan akan dijalankan secara terperinci dan akan mengkaji semua aspek termasuk mereka dakwaan Sanjeevan itu.
Dalam tweet yang lain, Khalid juga memberi jaminan bahawa Bukit Aman akan memantau siasatan tersebut dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah akan "mengawasi sendiri" siasatan tersebut.
Menurut akhbar TheStar, Sanjeevan ditembak pada kira-kira jam 4.30 pagi semalam di Jempol, Negeri Sembilan.
Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil tetapi kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Pilah.
Astro Awani melaporkan bahawa Sanjeevan ditembak oleh dua penunggang motosikal semasa dia sedang memandu, di simpang berhampiran Taman Cempaka.
Menurut laporan itu lagi, Sanajeevan sedang merokok dan menurunkan cermin depan kereta apabila dua lelaki bermotosikal merah datang dari belakang.
Pemboncengnya, menurut laporan itu, kemudian mengeluarkan pistol dan menemba Sanjeevan. Dia cedera di dada kanannya tetapi tak pasti berapa banyak tembakan dilepaskan.
Sanjeevan mendapat perhatian umum akhir tahun lepas apabila beliau menganjurkan siri sidang akhbar bersama dengan bekas IGP, Tan Sri Musa Hassan.
Antara lain, Musa mendakwa terdapat pegawai polis berpangkat tinggi yang ada kaitan dengan sindiket jenayah.
Berikutan ini, Sanjeevan telah menerima beberapa ancaman bunuh dan telah diserang di Kuala Lumpur pada bulan April.