Ratusan peniaga di Pulau Pinang dan Selangor membantah dasar kerajaan untuk membenarkan warganegara asing menjalankan perniagaan mereka di negara ini, yang didakwa menjejaskan perniagaan tempatan.
Di Little India Klang pagi ini, kira-kira 250 peniaga berbangsa India berkumpul sambil membawa plakad dan berjalan kira-kira satu kilometer sepanjang Jalan Tunku Kelana sebagai tanda bantahan.
Setiausaha Pertubuhan Peniaga Tekstil dan Barang-barang Am India Malaysia (MITA) Maheswary Ramasamy, kira-kira 280 kedai, termasuk yang diusahakan oleh India Muslim dan Cina turut ditutup sebagai tanda sokongan.
Maheswary berkata, mereka tidak puas hati dengan pelbagai karnival membeli belah yang dianjurkan kerajaan untuk menggalakkan perniagaan dengan negara asing seperti Bangladesh, China, India, Indonesia dan Pakistan.
"Karnival sebegini menjejaskan perniagaan kami. Barangannya nampak menarik dan mereka menjualnya dengan harga yang murah tetapi apa yang pembeli tidak sedar, barangan itu kualitinya rendah," kata Maheswary kepada Malaysiakini .
"Kami sudah ada pelanggan yang terhad dan karnival serta peniaga asing ini mencuri lagi perniagaan kami.
"Kerajaan mesti hentikan perkara ini kerana kami peniaga tempatan adalah rakyat Malaysia, kami bayar cukai, pinjaman bank dan perbelanjaan lain untuk membayar hutang."
[Baca berita penuh]