Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shabery: 86.4% rakyat terima konsep Gagasan 1Malaysia

Penerimaan rakyat Malaysia terhadap konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencapai tahap 86.4 peratus, sidang Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata statistik itu diperoleh berdasarkan kaji selidik terhadap 30,077 responden meliputi masyarakat pelbagai kaum yang dijalankan tahun lepas.

"Asas kepada konsep 1Malaysia ialah bagaimana untuk meningkatkan kefahaman dan toleransi dalam kalangan masyarakat, yang pada keseluruhan saya percaya konsep ini boleh diterima semua pihak.

"Ini kerana Gagasan 1Malaysia tidak mengandungi justifikasi bahawa mesti menyokong hanya satu parti jika menyokong konsep itu, malah ia juga membenarkan perbezaan dari segi pendapat, anutan ideologi dan cara mengamalkan budaya," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat di ibu negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Makin@Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu tahap penerimaan terkini rakyat termasuk yang bukan Melayu terhadap konsep 1Malaysia.

Gagasan 1Malaysia diperkenalkan Najib pada 2 April 2009, sejurus dilantik menjadi perdana menteri, dan aspek utama gagasan itu ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Ahmad Shabery berkata walaupun terdapat usaha oleh pakatan pembangkang untuk memperlekeh gagasan itu, namun dengan pelbagai produk diperkenalkan berasaskan 1Malaysia, tindakan mereka tidak memberi kesan malah jenama dan produk yang diketengahkan terus mendapat sambutan rakyat.

Beliau berkata antara produk berasaskan 1Malaysia yang mendapat sambutan hebat masyarakat ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Ahmad Shabery berkata walaupun pihak pembangkang dilihat tidak senang dengan Gagasan 1Malaysia, namun pada keseluruhannya rakyat menganggap kewujudan gagasan itu disertai pelbagai produk sebagai sesuatu yang amat baik.

"Gagasan 1Malaysia ialah satu jenama besar yang mesti dikaitkan dengan produk-produknya. Memang ada orang yang merasa 'geli' apabila melihat orang ramai pergi terima BR1M, tetapi bolehkah dihalang orang untuk tidak terima?"

Beliau berkata kementeriannya sedia membuat kajian terbaharu berhubung tahap penerimaan rakyat terhadap gagasan berkenaan, terutama selepas PRU13.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS