Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata anggota polis yang terlibat dalam kes kematian seorang tahanan N Dhamendran akan didakwa di mahkamah petang ini atas tuduhan membunuh.
“Pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Ketua Polis Negara untuk menyiasat perkara ini telah menyelesaikan siasatannya dan telah mengemukakan kertas siasatan yang berkaitan kepada Jabatan Peguam Negara pada 4 Jun 2013.
“Berdasarkan keterangan yang diperoleh menerusi siasatan itu, saya telah memutuskan untuk menuduh anggota polis yang terlibat atas tuduhan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Anggota polis yang berkenaan akan dituduh di mahkamah petang hari ini, 5 Jun 2013,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, tindakan segera pasukan polis dalam menangani kes berkenaan adalah membanggakan dan menggambarkan komitmen PDRM untuk menegakkan kewibawaan institusi tersebut.
Bedah siasat yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei ke atas mayat tersebut mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat hentakan objek tumpul, kata Abdul Gani.
"Jabatan Peguam Negara memandang serius kejadian terbaru kematian tahanan semasa dalam agensi penguatkuasaan ini dan komited untuk menangani mengikut undang-undang sebarang salah laku yang telah menyebabkan kematian Dhamenderan," katanya.
Dhamenderen meninggal dunia dalam selnya di lokap Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas semasa dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api.
Si mati ditahan reman selama 10 hari mulai 12 Mei lepas.
Selain kes Dhamendran, turut menarik perhatian adalah kes kematian R Jamesh Ramesh, 40, yang ditemui mati ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 26 Mei, sehari selepas ditahan atas kesalahan dadah.
Satu lagi kes melibatkan jurutera P Karuna Nithi, 42, yang mati ketika dalam tahanan polis di Tampin pada 1 Jun lalu.