Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil seorang penyanyi dan komposer lagu popular, Yasin Sulaiman semalam sebagai saksi bagi menyiasat stesen Radio Free Malaysia (RFM) yang didakwa beroperasi tanpa lesen.

Peguam Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, saksi berkenaan sebelum ini tampil sebagai tetamu dalam satu program yang disiarkan RFM.

Shamsul yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan tujuan sebenar siasatan tersebut.

concert yasin bukit gantang "Dia (Yasin) dipanggil SKMM untuk siasat satu laporan terhadap RFM. Yasin pada 25 Mac lalu ditemuramah bersama radio tersebut berkaitan lagu 'Reformasi'.

"Disebabkan temuramah itu, dia dipanggil sebagai saksi kerana pada pandangan saya, terdapat kemungkinan SKMM bercadang ambil tindakan terdapat radio itu kerana bersiaran tanpa lesen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Menurut Shamsul lagi, pegawai SKMM itu mengajukan beberapa soalan, termasuk berhubung lagu 'Reformasi' ciptaan penyanyi tersebut ketika siasatan selama lebih dua jam bermula 3 petang.

Malah, pegawai SKMM itu turut merakam keterangan beliau sebagai peguam yang mengiringi saksi tersebut, katanya.

"(SKMM) juga dirakam keterangan saya. Tetapi tiada sebarang maklumat yang diberikan.

"Pada saya ini adalah usaha untuk sekat kebebasan maklumat menjelang pilihan raya. Tindakan yang cuba dilakukan ini menjadikan kebebasan media di Malaysia lebih parah dari Burma," tambahnya.

RFM memulakan siaran sulung mereka pada malam 25 Mac lalu dengan menyiarkan wawancara dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RFM yang memancarkan siaran melalui gelombang MW 1,359kHz diusahakan pihak yang sama di belakang stesen radio gelombang pendek Radio Free Sarawak.

Stesen radio itu merancang untuk beroperasi bermula jam 9 malam sehingga 11 malam dalam bahasa Melayu.

Stesen radio berkenaan juga boleh dihubungi melalui talian bebas tol 1-800-815-309, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS