Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

VIDEO l 59 secs  

dikemaskini Setiausaha BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan dakwaan bahawa parti itu terlibat dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing seperti yang didakwa dalam sebuah klip video yang diterimanya semalam.

Sebaliknya, beliau mendakwa video klip itu daripada pembangkang dan ia dihantar oleh pihak yang tidak dikenali melalui aplikasi telefon WhatsApp.

Klip video tersebut kini telah dimuatnaik ke laman Youtube.

NONE "Kami tak buat begitu... tak ada kerja lain ke... Ini satu taktik

kotor," kata Tengku Adnan (kiri) ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Klip video selama 59 saat itu antara lain memaparkan babak sekumpulan yang didakwa warga Bangladesh bertempiaran lari sambil menjerit perkataan 'polis' beberapa kali.

Kemudian, babak kumpulan itu ditahan sambil duduk mencangkung dengan seorang anggota polis menghampiri mereka dan suara latar dalam video tersebut menyebut: "Lari apa, aku nak bagi IC saja".

"Suara itu bukan daripada polis (dalam klip video itu), tetapi suara daripada orang lain," kata Tengku Adnan yang mesra dipanggil Ku Nan.

Video klip itu juga memaparkan tulisan-tulisan "You help me I help you" sewaktu penyerahan kad pengenalan kepada warga Bangladesh, "Jangan terkejut, pekerja asing juga boleh undi di Malaysia di bawah BN" termasuk bendera BN yang dipangkah dengan tulisan "Say no to Barisan Nasional".

Di akhir video klip itu tertulis "Inilah hasil kerja golongan yang terdesak untuk dapat kuasa".

Malaysiakini memperolehi video klip tersebut versi asal daripada Tengku Adnan dan pertambahan perkataaan 'fitnah' pada video klip versi yang dimuatnaik ke Youtube.

NONE Beliau mengakui perkataan 'fitnah' itu ditambah oleh pihaknya

pada versi Youtube.

Ditanya sama ada beliau yang juga ahli parlimen Putrajaya akan membuat laporan polis, Tengku Adnan berkata beliau akan memaklumkan perkara tersebut terlebih dahulu kepada pihak pengurusan Umno dan BN.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu dalam laman sosial Facebooknya, Tengku Adnan menempelak  pembangkang yang didakwanya "suka melempar fitnah, menipu membuat manipulasi dan melakukan pelbagai kerja kotor".

"Sudah, sudahlah... Kerajaan yang telus tidak pernah bertindak demikian, BN telus dan PM pun dah metrai ikrar integriti. Pembangkang sudah kehabisan modal, tak ada kerja.

"Bayangkanlah bagaimana rupa kerajaan akan datang kalau puak-puak yang menipu ini yang menang dalam PRU... Nauzubillah... Semoga kita dipelihara Allah," katanya.

Kerajaan telah menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat isu pendatang di Sabah dan prosidingnya sedang berjalan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS