Majlis Gereja Malaysia (CCM) mengumumkan bahawa kesemua gereja akan menggunakan kalimah Allah walau Sultan Selangor mengeluarkan titah yang menghalang golongan bukan Islam daripada menggunakannya.
Setiausaha agungnya Rev Hermen Shastri berkata para ketua gereja CCM, semasa permukiman di Ipoh, mengambil maklum berhubung perbincangan mengenai penggunaan kalimah berkenaan untuk golongan bukan Islam.
"Kami ingin mengulangi pendirian bahawa (penganut) Kristian Malaysia menggunakan perkataan Allan dalam Injil bahasa Melayu dan pengabdian hidup mereka sejak berabad lamanya," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, banyak masyarakat pribumi yang merangkumkan perkataan ini dalam bahasa seharian mereka.
Oleh itu, CCM akan meneruskan amalan ini, katanya lagi yang menambah, perkara itu dijamin dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Pandangan CCM itu dikongsi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).