Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puad: DAP akan cetak Injil dengan kalimah Allah?
Diterbitkan:  Jan 8, 2013 1:18 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Anggota majlis tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menggesa DAP menjelaskan dakwaan bahawa parti itu akan mencetak 100,000 naskhah Injil dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah dan mengedarkannya secara percuma di negeri dikuasai Pakatan Rakyat.

Laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut, timbalan menteri pelajaran itu menyatakan rasa terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu.

"Saya tidak boleh beritau maklumat saya itu, sebab itu saya hendak bertanya. Itu saya kata tadi saya difahamkan. Jadi saya minta DAP jawab sama ada betul atau tidak.

"Saya juga minta PAS menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan tindakan ini," katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai "fitnah tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali".

Lim juga menuntut Mohd Puad mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut serta menarik balik dan meminta maaf atas "penipuan" berkenaan.

"Fitnah Mohd Puah langsung tidak masuk akal kerana DAP tidak pernah terlibat dalam hal ehwal agama. Pendirian parti menganggap agama itu adalah hal peribadi dan tidak harus dipergunakan atau dipolitikkan.

"Malah, DAP tidak mempunyai sumber kewangan atau keupayaan untuk mencetak dan mengedar 100,000 naskhah Injil bahasa Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS