Most Read
Most Commented
Read more like this

PAS menggesa Kementerian Pendidikan mengiktiraf dengan segera sijil peperiksaan sekolah swasta Cina supaya lulusannya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Parti itu juga menggesa badan penilaian profesional, Lembaga Akreditasi Negara, mengambil keputusan berhubung isu itu melalui prosedur biasa.

"Pengiktirafan dan penarikan semula sesuatu kelulusan sepatutnya datang daripada LAN dan bukannya daripada sebuah jawatankuasa peringkat kementerian yang tidak diketahui kewibawaannya," kata Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor, kepada malaysiakini hari ini.

Kabinet mengambil keputusan pada Isnin lalu menarik kembali sekatan terhadap institusi pengajian tinggi swasta tempatan daripada mengambil lulusan Sijil Peperiksaan Seragam (unified examinations certificate).

Sebelum ini lulusan SPS boleh melanjutkan pengajian ke kolej tempatan sehinggalah kerajaan mengenakan sekatan pada Jun tahun lalu.

Keputusan kabinet itu diambil selepas menerima bantahan daripada gabungan lembaga pengarah sekolah-sekolah swasta Cina, Dong Jiao Zhong. Gabungan itu menyifatkan sekatan kerajaan itu membawa kesan buruk kepada 55,000 pelajar dari 60 sekolah di negara ini.

Lebih 6,000 pelajar mengambil peperiksaan SPS itu setiap tahun sejak 25 tahun lalu.

Fadzil bagaimanapun berkata keputusan kementerian mengiktiraf kembali SPS tidak memadai kerana lulusan sijil itu masih gagal melanjutkan pelajaran di institusi-instusi pengajian tinggi awam.

"PAS menghormati pendidikan bahasa ibunda dan kelangsungan sistem pendidikan sekolah Cina," katanya.

Fadzil berkata tindakan kerajaan itu memberikan pandangan buruk terhadap kewibawaan institusi-institusi pengajian swasta yang mengambil lulusan sijil ini.

"PAS ingin mengetahui apakah kriteria yang digunakan oleh kementerian untuk menolak SPS," katanya.

Parti itu berharap kementerian dan LAN mengambil langkah yang "toleran dan terbuka" demi keharmonian dan perpaduan kaum.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS