Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan MP hari ini hadir ke mesyuarat rakyat bersama aktivis Himpunan Hijau dan menyokong tiga resolusi yang dikemukakan - antaraya mendesak kerajaan supaya membatalkan segera projek loji nadir bumi Lynas.

NONE Resolusi berkenaan dibacakan seorang akvitis, Zamri Zanal (kiri) dalam mesyuarat yang bermula pada kira-kira jam 9.15 pagi ini.

Selain itu mereka juga menuntut pemberhentian atau penilaian semula terhadap segala projek yang didakwa memudaratkan, termasuk lombong di Bukit Koman, kabel bervoltan tinggi di Rawang, Rapid di Johor dan rampasan tanah orang asal.

Antara desakan yang terkandung di bawah resolusi kedua itu ialah:

  • Wajib melakukan perundingan awal dengan masyarakat awam dan sesiapa yang terbabit dalam segala hal alam sekitar dan segala projek pembangunan yang berkemungkinan mengancam kepentingan masyarakat setempat.
  • Ketelusan dalam segala prosedur dan pendedahan maklumat kepada masyarakat di mana hak setiap rakyat untuk mendapat maklumat yang jelas dan tepat tentang semua hal alam sekitar serta segala rancangan pembangunan dan aktiviti yang mungkin memberikan kesan negatif.
  • Pencegahan pencemaran alam sekitar dan tidak membenarkan projek yang meninggalkan bahan-bahan radioaktif, bertoksik atau yang merbahaya di dalam negara.

NONE Sementara resolusi ketiga pula, himpunan itu mendesak segala rancangan pembangunan dengan mapan, dan sejajar dengan prinsip-prinsip piagam bumi.

Seramai 13 MP berkenaan yang duduk bersama-sama peserta Himpunan Hijau dalam mesyuarat berkenaan – bersetuju sebulat suara dengan resolusi tersebut.

MP yang hadir termasuk Lim Kit Siang (Ipoh Timur), William Leong (Selayang), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Poh Kuan (Batu Gajah), Dr D Jeyakumar (Sungai Siput) dan Chong Eng (Bukit Mertajam).

Resolusi berkenaan kemudiannya sekali lagi diikrarkan oleh peserta dan MP yang mengangkat tangan dan mengikuti bacaan ikrar berkenaan.

NONE Turut hadir memberi ucapan adalah Lim Kit Siang dan aktivis dari negeri Sarawak yang memohon sokongan terhadap perjuangan mereka membantah pembangunan empangan di negeri itu.

Penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat yang mempengerusikan mesyuarat rakyat kemudiannya menangguhkan "persidangan" itu kira-kira jam 10 pagi.

"Mesyuarat ditangguhkan, jumpa lagi (di Dataran Merdeka) apabila Malaysia sudah merdeka," katanya.

Kumpulan berkenaan kemudiannya bersurai daripada menduduki kawasan jalan berhampiran Dataran Merdeka.

Pihak berkuasa membuka semula sekatan di hadapan Dataran Merdeka pada kira-kira jam 10.35 pagi untuk membolehkan laluan kenderaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS