Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM120j projek sentuhan kasih bina rumah generasi kedua Felda

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Felda menyediakan peruntukan  RM120 juta bagi Projek Sentuhan Kasih untuk generasi kedua Felda membina rumah dan menjalankan projek tanaman kontan yang berpulangan tinggi.

    

Beliau berkata buat permulaan, sejumlah 300 unit rumah akan dibina di tanah rancangan Felda di Besut, Terengganu; Chini Timur 2, Pahang; dan Tenggaroh, Johor; pada penghujung tahun ini.

    

Najib berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Himpunan Generasi Baru Felda di Universiti Teknologi MARA di sini yang dihadiri 12,000 belia dari seluruh tanah rancangan Felda di Malaysia.

    

Beliau berkata:" Kita sedia melaksanakan 4,000 unit lagi (rumah) kalau kita dapat tanah yang besar."

    

Rumah untuk generasi kedua peneroka itu akan dibina menggunakan kaedah pasang siap dan berharga RM70,000 seunit dengan ansuran bulanan pinjaman bank kira-kira RM360, katanya.

Sementara itu, perdana menteri menyempurnakan bayaran 'durian runtuh' pusingan ketiga kepada generasi baru Felda sebanyak RM5,000 untuk 112,635 keluarga melibatkan RM563.2 juta.

    

Sebagai menandakan pembayaran itu, Najib menyampaikan cek replika kepada wakil dari 11 Wilayah Felda pada himpunan tersebut.

Berucap pada majlis itu, Najib berkata kini tiba giliran generasi baru Felda untuk mendapat manfaat itu selepas ibu dan bapa mereka sebelum ini.

"Hari ini giliran generasi kedua anak-anak mendapat rahmat daripada durian runtuh, sekaligus membuktikan bahawa sebagai sebuah kerajaan kita tidak pernah mungkir janji," katanya.

    

Sebelas Wilayah Felda itu ialah Raja Alias, Segamat, Gua Musang, Kuantan, Trolak, Johor Baharu, Mempaga, Terengganu, Alor Setar, Jengka dan Sahabat di Lahad Datu.

Laporan media sebelum ini menyebut jumlah durian runtuh yang diberi kepada peneroka, isteri peneroka dan generasi kedua ini ialah RM1.689 bilion.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS