Penurunan harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) hanyalah bersifat sementara kerana ia bergantung kepada harga pasaran komoditi sawit dunia, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad.
Beliau berkata harga saham tersebut dijangka meningkat semula dalam tempoh terdekat berikutan komoditi kelapa sawit yang sentiasa mendapat permintaan tinggi oleh pengguna.
"Situasi ini tidak membimbangkan kerana ia merupakan bahan makanan yang sentiasa mendapat permintaan tinggi oleh pengguna," katanya pada Program Sihat Felda di Felda Lembah Klau dekat Raub hari ini.
Harga saham FGVH di pasaran ialah RM4.74 seunit hari ini.
Isa berkata pemegang saham FGVH mempunyai masa depan yang cerah kerana harga saham laris dan mendapat permintaan banyak dari pelbagai pihak termasuk dari negara Arab untuk membelinya kerana ia boleh membawa keuntungan yang besar kepada pemegang.
"Ketika saham ini mula disenaraikan di Bursa Malaysia beberapa bulan yang lalu, harganya sudah meningkat dan memberi keuntungan besar kepada pemegang sahamnya.
"Penurunan harga saham adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan dan ia dijangka akan naik semula tidak lama lagi," katanya.
Isa turut menafikan bahawa Felda membuat potongan ke atas pemegang saham FGVH seperti yang didakwa sebilangan peneroka dan pihak pembangkang.
Katanya Felda tidak membuat sebarang pemotongan bagi pembelian unit saham ke atas peneroka dan jika berlaku, ia mungkin atas sebab-sebab lain.
Beliau juga memberitahu Felda akan melaksanakan projek perumahan di atas tanah seluas 5,000 ekar di seluruh negara membabitkan 20,000 rumah pasang siap yang akan dimulakan awal tahun depan.
"Pada masa ini pihak pentadbiran Felda di tanah rancangan terpilih telah mengenal pasti kawasan untuk pelaksanaan projek tersebut, dengan harga rumah yang mampu dibeli oleh warga Felda termasuk golongan generasi kedua.
"Sebagai permulaan, sebanyak 5,000 unit rumah akan mula dibina tahun depan bagi fasa pertama, manakala 15,000 unit rumah lagi akan dibina selanjutnya sehingga siap 20,000 unit tersebut," katanya.
- Bernama