Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Inflasi kekal rendah, isu kos sara hidup terus ditangani
Diterbitkan:  Sep 28, 2012 4:37 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

LAPORAN EKONOMI Kadar inflasi di negara ini kekal rendah iaitu 1.4 peratus pada Ogos 2012, namun masih perlu dikawal berikutan peningkatan harga komoditi makanan kerana pelbagai faktor global, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Menurutnya, penyumbang utama peningkatan harga itu ialah kenaikan harga input pertanian, kemarau, banjir, sumber terhad, persaingan penggunaan komoditi bagi biobahan api dan pertambahan penduduk.    

    

Justeru, kerajaan menyediakan banyak kemudahan dan peruntukan untuk meredakan inflasi dan mengimarahkan kehidupan rakyat, terutamanya golongan  berpendapatan 40 peratus terendah dan kelompok lain yang paling terjejas.    

    

Dalam meringankan kos sara hidup, inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan jumlah keseluruhan RM2.2 bilion disalurkan kepada 4.3 juta keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah.    

    

Bantuan persekolahan sebanyak RM100 juga diberikan kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah, manakala baucar buku RM200 pula diberi kepada 1.2 juta pelajar tingkatan enam, matrikulasi, institut pendidikan tinggi awam dan swasta dengan masing-masing berjumlah RM545 juta dan RM244 juta.    

    

Untuk menjamin bekalan makanan mencukupi dan meningkatkan nilai tambah sektor agro makanan, Dasar Agro Makanan Negara (NAFP) 2011-2020 diperkenalkan awal tahun ini dengan peruntukan RM1.1 bilion bagi membiayai pelbagai projek termasuk di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (KETARA) untuk meningkatkan hasil padi dan membina projek pengairan di Sabah dan Sarawak.   

Laporan itu menyatakan pembiayaan di bawah Dana Pertanian Komersil turut diperluas kepada pertanian berinovasi dalam usaha memodenkan sektor pertanian dan sehingga Mei 2012, Agrobank telah mengeluarkan RM418.2 juta bagi

membiayai 42 projek pertanian.    

    

Sebanyak RM14 juta lagi diperuntukkan bagi memperluaskan program ladang kontrak untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan pada masa yang sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membelanjakan RM6.1 juta untuk memasarkan lebih 191,000 tan metrik hasil pertanian.    

    

Bagi barangan asas, antara bantuan yang diberi termasuk rebat bil elektrik kepada isi rumah untuk penggunaan bulanan RM20 ke bawah, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) yang membantu golongan miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), membuka

lebih banyak Agro Bazaar Kedai Rakyat dan memperluas bilangan produk 1Malaysia.    

Menurut laporan itu lagi usaha menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti turut diambil melalui Skim Rumah Pertamaku, selain memperuntukkan dana bagi beberapa projek di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dan Program Pemulihan Rumah Terbengkalai serta Tabung Khas Perumahan Nelayan.    

    

Tidak ketinggalan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membina dan menaik taraf dewan serbaguna, surau, parit, jambatan kecil serta membaik pulih rumah usang di luar bandar Sabah dan Sarawak, selain pembinaan tebatan banjir di Perlis, Sungai Kerian, Perak dan Segamat, Johor bagi memastikan penduduk bebas

daripada ancaman banjir.    

    

Bagi meningkatkan perkhidmatan berkualiti, beberapa usaha membina hospital baharu di Sarawak, Negeri Sembilan dan Kelantan giat dijalankan selain kerja-kerja menaik taraf hospital di Perak, Johor dan Putrajaya yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015.    

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS