Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahasiswa, kumpulan yang terpilih dan intelektual adalah permata negara yang terus digilap sinarnya oleh kerajaan dalam usaha melahirkan modal insan yang berdaya saing.

Sebagai pewaris kepimpinan negara, status mahasiswa dipandang tinggi oleh masyarakat dan kepintaran mereka sentiasa ditagih dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.

Namun, apa yang berlaku pada malam sambutan ambang kemerdekaan negara, 30 Ogos, yang memijak dan menunjukkan punggungnya ke atas gambar pemimpin negara serta mempamerkan 'bendera baharu' kononnya sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang, jelas mencalarkan imej mahasiswa dalam kalangan masyarakat.

Persoalannya, berbaloikah tindakan mahasiswa itu yang jelas hanya mengundang padah termasuk dibuang daripada pengajian selain menanggung malu buat diri dan keluarga? Apakah mesej yang cuba ditonjolkan mahasiswa terbabit?

Mengupas persoalan itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Farid Zuhri Ismail berkata tindakan jelek dan biadab itu tidak menggambarkan standard pemikiran keseluruhan mahasiswa.

"Mahasiswa adalah kumpulan yang matang dan intelektual... hanya kerana segelintir mereka ini, keseluruhan kita pun terpalit dengan kebiadaban yang mereka lakukan.

"Kami, sebagai mahasiswa sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan bukan sahaja maruah negara bahkan maruah diri sendiri dan keluarga. Keuntungan yang mereka dapat hanyalah kepuasan hati sahaja," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Farid Zuhri mungkin mewakili suara ribuan mahasiswa di negara ini yang tidak bersetuju malah membenci tindakan itu yang disifatkan biadab, kurang ajar dan memalukan.

Persoalan yang timbul juga setakat mana pengetahuan sejarah negara dihayati oleh golongan muda dan mengapa ada segelintir dalam kalangan mahasiswa yang benci kepada kerajaan sedangkan dalam masa yang sama menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan?

Mohd Farid Zuhri berkata ceteknya ilmu pengetahuan mengenai sejarah negara menyebabkan seseorang mahasiswa itu mudah menerima bulat-bulat maklumat salah dan telah diputar belit yang mereka peroleh daripada laman blog tanpa memeriksa kesahihannya.

"Tindakan mempamerkan 'bendera baharu, misalnya saya anggap sebagai jahil sejarah dan memalukan. Ini kerana mereka tidak dapat membuat pertimbangan apa yang betul dan apa yang salah. Kenapa dah 55 tahun negara merdeka, baru sekarang isu nak tukar bendera ini timbul?" katanya.

Penolong Naib Yang Dipertua (Kebajikan Dan Khidmat Masyarakat) MPP UiTM, Siti Hannariah Mansor pula berpendapat kelemahan jati diri serta kejutan budaya dengan alam universiti menyebabkan seseorang mahasiswa itu mudah terpengaruh dengan elemen-elemen tidak baik.

"Sebagai mahasiswa, kita harus tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Jangan jadi kera sumbang," katanya.

Bagi tiga sekawan yang menuntut di UiTM Perak dalam jurusan Fotografi, mereka berpendapat bahawa tindakan itu hanya akan menggadai masa depan mahasiswa sendiri serta memberi imej buruk kepada negara.

Muhammad Hafizi Razuan, 20, berkata tindakan itu jelas mempamerkan kedangkalan individu terlibat selain menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertamadun yang hanya akan mencemar nama baik institusi, mahasiswa dan keluarga.

"Saya amat tidak setuju dengan tindakan itu yang jelas amat kurang ajar dan biadab. Tindakan itu jijik kerana ada yang sanggup menunjukkan punggung di khalayak ramai demi memenuhi nafsu menghina pemimpin negara.

"Jika tidak suka pun kepada pemimpin negara, tak perlu buat macam itu... memalukan sahaja. Kita ada pilihan raya, kalau tak suka, tunggulah cukup umur dan dapat hak mengundi. Gunakanlah undi itu," kata kepada Bernama , di sini.

Beliau berkata individu yang terlibat dalam kejadian itu juga tidak layak untuk memimpin negara kerana sikap buruk mereka akan menjadikan negara kacau-bilau.

"Demonstrasi ini, pada saya tak payahlah. Yang saya hairan kenapa kumpulan mahasiswa ini nak sangat terjebak dengan politik. Ijazah pun tak genggam lagi dah sibuk nak berpolitik," katanya.

Sependapat dengan Muhammad Hafizi, rakannya Mohammad Hakimi Rashid, 20, pantas mencelah dengan menyatakan tindakan demonstrasi jalanan, mencemuh dan memijak gambar pemimpin perlu dibendung dari sekarang kerana dikhuatiri akan menjadi ikutan dan budaya dalam kalangan segelintir rakyat.

"Ini dah jadi 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. Saya hairan apa lagi yang sebenarnya mereka tak puas hati. Tambah pula yang melakukannya adalah mereka yang dalam lingkungan usia saya, jadi saya juga malu dan marah," katanya yang kasihankan keluarga yang turut mendapat malu.

Persoalan juga timbul, apakah kumpulan ini sengaja mahu menonjolkan diri kononnya merekalah jaguh selain tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai saluran untuk menyatakan pandangan, cadangan dan bantahan kepada kerajaan khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Kerajaan pada masa kini melaksanakan dasar terbuka dan telus dengan Najib sendiri memiliki laman sosial Facebook, Twitter dan juga Blog 1Malaysia yang membolehkan rakyat menyuarakan apa sahaja secara terus kepada perdana menteri.

Rakan mereka Muhammad Taufeeq Salehuddin, 20, berkata tiada sebab untuk mana-mana rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan BN kerana kerajaan yang ada sekarang amat prihatin.

"Di mana lagi yang mereka kata tak adilnya? Kerajaan sudah mengambil berat kepentingan dan kebajikan semua lapisan rakyat. Bukankah kita berada di universiti juga hasil usaha kerajaan?" katanya.

Setakat ini, tujuh individu memberi keterangan kepada pihak polis berhubung tindakan membawa 'bendera baharu' Malaysia, memijak gambar pemimpin negara dan menunjuk punggung di khalayak ramai semasa sambutan ambang merdeka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS