Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Insiden tunjuk punggung: Polis tahan seorang siswa
Diterbitkan:  Sep 4, 2012 1:54 PM
Dikemaskini: Sep 5, 2012 3:23 AM

dikemaskini Polis hari ini menahan seorang pelajar kolej berhubung tindakan beberapa orang peserta semasa sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka pada malam Jumaat lalu.

Lelaki berusia 19 tahun itu difahamkan ditahan di sebuah kolej di Cheras, Kuala Lumpur pada tengahari tadi.

Dalam kejadian pada Jumaat malam lalu, seorang lelaki dilaporkan menunjukkan punggungnya pada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga gambar isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam gambar insiden tersebut yang kini beredar di Internet, seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an, kelihatan melondehkan seluarnya dan turut menunjukkan punggungnya pada gambar Najib, Rosmah serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Tindakan menunjukkan punggung tersebut menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Umno, PAS dan PERKASA.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata sebelum ditahan, pelajar berusia 19 tahun dari Batu Pahat, Johor itu dibawa oleh ibu dan bapanya untuk bertemu pengurusan kolej berikutan gambar anaknya tersiar di akhbar dan dikaitkan dengan kejadian itu.

   

"Kami difahamkan oleh orang awam bahawa pelajar semester tiga Diploma Multimedia Kreatif itu telah pulang ke kampungnya di Batu Pahat selepas malam kejadian akibat takut dengan perbuatan yang dilakukannya.

   

"Justeru, kami telah memohon kerjasama kolej bagi memujuk pelajar itu untuk kembali ke kolej, dan hari ini beliau telah di bawa oleh ibu bapanya kerana dimaklumkan pihak pengurusan kolej ingin bertemunya tanpa memberitahu polis sedang mencarinya," katanya kepada pemberita selepas menemui pelajar itu di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Dang Wangi.

   

Abdul Jalil berkata dua pelajar lelaki yang juga rakan sekolej suspek yang berada bersamanya di Dataran Merdeka pada malam itu turut tampil menjadi saksi dan memperakui perlakuan yang dilakukan pelajar tersebut.

Ditanya sama ada tindakan pelajar itu dipengaruhi mana-mana parti politik, beliau berkata setakat ini siasatan ke atas insiden berkenaan belum menjurus ke arah itu.

   

"Berdasarkan percakapan awal dengan pelajar yang juga anak bongsu daripada dua adik beradik itu, beliau mengakui hadir ke Dataran Merdeka bagi menyambut malam ambang merdeka," katanya.

   

Abdul Jalil berkata bagi melengkapkan siasatan, polis akan mengunjungi kediaman pelajar itu untuk mencari baju serta pakaian yang dipakainya pada malam kejadian.

   

Dalam perkembangan sama, beliau meminta 10 lagi individu yang dikaitkan dengan insiden memijak dan membawa bendera 'baharu' Malaysia supaya tampil ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

   

"Alamat 10 individu itu telah diketahui, namun ketika dikunjungi, individu berkenaan tidak lagi tinggal di situ," katanya.

     

Sebelum ini, Polis Diaraja Malaysia membentuk tiga pasukan khas untuk menyiasat tindakan peserta perhimpunan itu yang membawa bendera "baru" Malaysia, memijak gambar pemimpin dan menunjuk punggung di khalayak ramai berdasarkan Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 290, 504 dan 509 Kanun Keseksaan.

 

 1. Insiden tunjuk punggung: Polis tahan seorang siswa

 2. Penganjur 'Janji Demokrasi' kutuk lelaki tunjuk punggung pada gambar PM, isteri'

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS